Agama

Sambutan ulang tahun MTSPJ meriah

‘Sambutan Mahrajan 15 Tahun Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ) Kangar Perlis’ disambut dengan penuh meriah sekali.

Majlis pelancaran ulangtahunnya itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) Dr Haji Hazman Hassan merangkap Pengerusi beserta Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid berkenaan.

Menurut Hazman, bersempena ‘Mahrajan’ ini, jawatankuasa Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail memperuntukkan pengurniaan yang disampaikan oleh baginda kepada kategori-kategori berikut:

1. 62 orang asnaf kariah Masjid itu menerima sumbangan bagi bulan November dan Disember 2020. Bersempena Mahrajan ini para asnaf turut menerima sumbangan ‘one-off’ RM100. Maka setiap asnaf membawa pulang RM200.

2. 24 orang anak yatim.

3. 13 orang Asatizah iaitu guru-guru agama yang memimpin majlis-majlis ilmu di masjid ini.

4. 4 orang fasilitator iaitu pembimbing kepada kelas Al-Quran Braille untuk OKU penglihatan dan ‘kelas mukmin junior’ untuk anak-anak dibawah 15 tahun.

5. 5 orang peserta terbaik kelas OKU penglihatan dan 11 peserta terbaik kelas mukmin junior.

6. 6 orang petugas masjid yang merangkumi pegawai masjid pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan penjaga tanah kubur Islam Kampung Lin.

7. Cenderamata kenangan kepada Jemaah mithali yang meliputi 10 orang jemaah contoh lelaki dan 10 orang jemaah contoh wanita. serta

8. Anugerah Jasamu Dikenang kepada Ustaz Mohd Noor Hisham Rosli imam masjid tersebut yang kini bertukar sebagai imam kariah Repoh.

Disamping itu Masjid tersebut turut menjemput pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta yang berjiran dengannya seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Kastam Diraja, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Perhutanan, Jabatan Penyiaran Malaysia dan Telekom Malaysia yang sentiasa memberi sokongan padu kepada aktiviti pengimarahan Masjid ini.

Untuk rekod, masjid berkenaan adalah sumbangan wakaf daripada dana peribadi Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Tuanku Syed Hassan Jamalullail.

Projek wakaf pembinaan ini diselia sendiri oleh suri Almarhum iaitu Almarhumah Raja Perempuan Besar Perlis, Tuanku Hajjah Budriah Tengku Ismail. Kemuncaknya, masjid yang dibina berasaskan ibadah wakaf ini, telah dirasmikan sendiri oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Yang Ke-12 iaitu Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga Raja Perlis pada 8 November 2005.

Terdahulu turut diadakan ialah simbolik ‘Tawsil’ Perkhidmatan Pengangkutan Percuma Untuk Temujanji Hospital Dengan Menggunakan Van Serbaguna MTSPJ yang disumbangkan oleh Bank Rakyat’, pelancaran pasukan futsal remaja masjid, memperkenalkan ‘Like Facebook MTSPJ’ serta kuliah maghrib khas bertajuk ‘Berkati Harta, Tenangi Jiwa’ yang disampaikan oleh Juara Imam Muda Musim Ke 3, Ustaz Abdul Jabbar Mohammed Kahar Al-Hafiz (Imam Muda Jabbar).

(Visited 560 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button