fbpx
Berita

NACP: Kikis imej kleptokrat, integriti Malaysia kembali dihormati – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 30 Jan — Setahun selepas pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, imej kleptokrat yang dikaitkan dengan Malaysia sebelum ini berjaya dikikis sekaligus meletakkan integriti negara kembali dihormati, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Hari ini Perdana Menteri Malaysia tidak lagi disabitkan dengan tuduhan mencuri dana awam untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Secara langsung, kedudukan Malaysia meningkat dari tangga ke 61 ke 51 di Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019 seperti yang dilapor Transparency International Malaysia (TI-M) baru-baru ini, katanya dalam perutusan setahun pelancaran NACP 2019-2023 hari ini.

Dr Mahathir berkata, menilai prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara sejak Mei 2018, perkara yang paling ketara menampakkan impak adalah usaha mempertingkatkan governans, integriti dan anti rasuah.

Beliau menarik perhatian dalam masa setahun sejak NACP 2019-2023 diperkenalkan pada 29 Jan 2019, pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan terancang dan terperinci bermula dengan mewujudkan satu badan khusus yang bertanggungjawab untuk menyelaras semua usaha kerajaan dalam membudayakan integriti di kalangan rakyat.


“Pada masa yang sama, ia juga merancang strategi terbaik untuk memerangi rasuah. Badan ini menjadi pusat penting yang menasihati Kerajaan mengenai langkah-langkah terbaik yang diamalkan oleh negara-negara maju dan sekaligus menjadi tanda aras yang diletakkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Selain itu tegasnya pewujudan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) dan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC) yang bertindak sebagai sekretariat kepada jawatankuasa ini juga telah menghasilkan pelbagai dasar untuk penambahbaikan pentadbiran,

Berkongsi fakta, Dr Mahathir berkata setakat ini 25 inisiatif telah berjaya diselesaikan daripada 115 yang dirangka untuk dilaksanakan antara tahun 2019-2023.

“Ini baru tahun pertama pelaksanaan NACP dan kita sudah pun dapat melihat pencapaiannya.

“Apa yang penting daripada inisiatif-inisiatif ini adalah perubahan dalam sistem dan institusi kita yang akan menentukan agar usaha-usaha ini berterusan dan ada kesinambungannya serta bukan hanya bermusim sahaja,”katanya.

Dalam perutusan itu juga, Dr Mahathir menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia dikenali kerana integriti dan bukan kerana rasuah.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah:

1. Memperkenalkan sistem pengisytiharan harta bagi Anggota Pentadbiran negara

2. Menambah baik dasar atau mekanisma, yang merujuk kepada penerimaan hadiah, hiburan dan bayaran oleh Anggota Pentadbiran negara

3. Memperkenalkan dasar yang mencegah ahli politik serta mana-mana individu yang mempunyai pengaruh besar daripada campur tangan dalam urusan kenaikan pangkat/pelantikan/pemilihan kedudukan dalam kerajaan.

4. Melaksanakan kuasa Parlimen dalam menghukum kesalahan menghina parlimen, bagi mewajibkan menteri, kakitangan awam, dan warganegara, untuk hadir di hadapan jawatankuasa dan memberikan maklumat.

5. Memperkenalkan kod tatakelakuan Ahli Parlimen untuk dikuatkuasakan oleh jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen bagi mewajibkan menteri, kakitangan awam, dan warganegara, untuk hadir di hadapan jawatankuasa dan memberikan maklumat.

6. Bagi memastikan semua laporan audit dibentangkan kepada Parlimen (tanpa menyembunyikan, memalsukan atau mengubah suai maklumat) dan sekiranya dalam sebarang kes itu melibatkan keselamatan atau kepentingan negara, ia kemudiannya perlu dilaksanakan di bawah peraturan mesyuarat 93 Dewan Rakyat.

7. Memperkenalkan Kod Etika menerusi peraturan mesyuarat bagi Ahli Parlimen (kedua-dua pihak, parti pemerintan dan bukan parti pemerintah) untuk dipatuhi.

8. Memperkenalkan dasar mengenai urusan pelantikan perunding dari segi peranan serta tanggungjawab mereka, dan juga bagi meminimakan pembabitan mereka dalam perkara-perkara berkaitan kewangan dan dasar-dasar pertubuhan.

9. Memperkenalkan garis panduan yang telus berhubung pelantikan Pegawai Khas, Setiausaha Politik, Setiausaha Sulit, dan Setiausaha Media bagi semua menteri dan timbalan menteri.

i) Terma dan Syarat Pelantikan

ii) Kelayakan Jumlah pelantikan

iii) Fungsi dan Kewajipan

iv) Gaji dan Kelayakan

10. Memastikan semua bahagian pelanggan dan penyelaras melaksanakan projek-projek berdasarkan kepada nasihat dan saranan yang diberikan oleh Jabatan Teknikal seperti Jabatan Kerja Raya, serta agensi-agensi teknikal yang berkaitan.

11. Memperkenalkan klausa standard dalam pelaksanakan projek-projek perolehan bagi melindungi kepentingan kerajaan dalam semua projek/kontrak melibatkan kerajaan, badan-badan berkanun, dan syarikat milik kerajaan. Sekiranya berlaku pecah amanah, kerajaan boleh pada bila-bila masa memecat atau/dan menfail saman terhadap pihak-pihak yang terlibat dengan kontrak.

12. Memastikan pelantikan kontraktor menerusi tender terbuka.

13. Meningkatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dengan menggunakan reknologi dalam usaha mengurangkan penggunaan kekerasan terhadap yang ditahan/banduan oleh pegawai penguat kuasa.

14. Membendung perbuatan salah di Jabatan Imigresen melalui kawalan dalaman.

15. Menubuhkan Pusat Anti Jenayah Kewangan Nasional sebagai pusat yang cekap dalam menguruskan rampasan aset menerusi penguatkuasaan bersepadu.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button