Nasional

2,985 kes Covid-19, 4 kematian dicatatkan hari ini

Sebanyak 2,985 kes positif baharu COVID-19 dicatatkan hari ini dengan jumlah paling tinggi kes dicatatkan di Selangor iaitu sebanyak 837 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes keseluruhan yang dicatatkan sehingga kini ialah sebanyak 144,518 kes.

“Selangor mencatat kes tertinggi dan sebanyak 605 kes (72.3 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Negeri kedua mencatatkan kes tertinggi ialah di Johor iaitu sebanyak 535 kes (17.9 peratus) dan diikuti Sabah sebanyak 450 kes (15.1 peratus),” katanya dalam sidang akhbar perkembangan kes Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak empat kes kematian dicatatkan hari ini dan menjadikan jumlah kematian sebanyak 563 kes.

Menurut Dr Noor Hisham, tiga kes dilaporkan di beberapa daerah di Sabah dan satu kes di Johor.

“Kes ke-560 membabitkan lelaki berusia 63 tahun dan mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi serta dilaporkan meninggal dunia di Hospital Queen of Elizabeth di Kota Kinabalu.

“Bagi kes ke-561, ia membabitkan lelaki berusia 77 tahun dan mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, jantung dan gout serta meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang,” katanya.

Ujarnya, kematian ke-562 membabitkan lelaki berusia 62 tahun dan mempunyai penyakit asma dan Pulmonary Tuberculosis serta jenazahnya dibawa ke Hospital Tawau.

Tambahnya, kematian ke-563 melibatkan wanita berusia 19 tahun dan mempunyai penyakit anemia dan jenazahnya dibawa ke Hospital Papar. -SM

(Visited 125 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button