Bola SepakSukan

Rashford mampu jadi pemain berkelas dunia – Ferdinand

PENJARING gol kemenangan Manchester United di Paris, Marcus Rashford memiliki masa depan yang cukup cerah untuk mengorak langkah lebih jauh dan menjadi pemain berkelas dunia sebenar, menurut legenda kelab itu, Rio Ferdinand.

Jaringan pada lewat permainan daripada penyerang tersebut sewaktu menentang Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi tadi (waktu Malaysia), membolehkan pasukannya bermula sempurna dalam kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan dia turut meraih pujian daripada pundit.

Ferdinand percaya, memiliki ciri-ciri sebagai ‘penceroboh’ dalam gaya permainannya, Rashford mempunyai kemampuan penuh untuk bergelar sebagai pemain bintang.

“Saya rasa budak ini mampu menjadi pemain berkelas dunia, dia hanya perlu memiliki elemen sebagai penceroboh, dengan menjaringkan beberapa gol mudah musim ini.

“Wayne Rooney menjaringkan gol memukau sewaktu dia mula-mula menyertai United, dia tidak menjaringkan gol yang buruk, tetapi lama-kelamaan dia memiliki kebolehan itu dalam permainannya bagi menambah dalam repertoirnya.

“Jika dia (Rashford) berupaya memiliki sisi buruk itu, budak ini mampu menjadi seorang pemain yang luar biasa,” katanya kepada BT Sport selepas United menundukkan PSG 2-1.

Pemain berusia 22 tahun tersebut kelihatan cukup tenang untuk mengulangi kecemerlangannya itu, selepas dia berjaya berbuat demikian di laman sama sewaktu membantu United mara ke peringkat 16 terbaik dalam pertandingan sama, Mac lalu.

Rashford mempamerkan aksi yang jauh berbeza berbanding bintang muda PSG, Kylian Mbappe, yang terpaksa mengharungi aksi mengecewakan selepas kemaraannya disekat oleh benteng pertahanan United yang beraksi cemerlang.

Ferdinand tidak dapat menahan dirinya daripada membandingkan kedua-dua pemain muda tersebut sewaktu analisis sebaik perlawanan berakhir, dan menegaskan, corak permainan Rashford ketika menembusi benteng pertahanan lawan jauh berbeza.

“Sewaktu Mbappe memegang bola, saya tak senang duduk, manakala Marcus mengawalnya dengan tenang dan melihat terlebih dahulu peluangnya itu. Terdapat perbezaan dalam mengenal pasti bila dia harus menjaringkan gol,” tambah Ferdinand. – Daily Mail UK – SM

(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button