Nasional

MYPA bina daya tahan dalam kalangan komuniti rentan melalui pemerkasaan pemimpin belia

PADA hari Jumaat, 3 Jun, program Belia Malaysia sebagai Duta Keamanan (MYPA), sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada membina daya tahan belia menentang radikalisasi, telah dilancarkan secara rasmi.

MYPA dimulakan dengan bengkel empat hari dari 2 hingga 5 Jun bersama pemimpin pelajar Malaysia untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang ekstremisme ganas dan dianjurkan bersama oleh Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) – Universiti Islam Antarabangsa, Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) Kementerian Luar Negeri, organisasi media belia MyKampus Radio (MKR), dan Kedutaan A.S. Kuala Lumpur.

Program ini bertujuan untuk membina pelajar menjadi utusan dan duta keamanan di kedua-dua platform dalam talian dan luar talian.

Mod utama penyampaian program adalah melalui latihan yang diterajui rakan sebaya, dengan 15 fasilitator universiti yang dipilih dan terlatih akan membimbing peserta mengenai modul seperti menggunakan komik untuk menentang ekstremisme ganas, memanfaatkan pengaruh dan komunikasi rakan sebaya, dan memanfaatkan media sosial untuk bercerita dan mempromosikan naratif positif.

Pensyarah jemputan dan pakar juga akan hadir, antaranya ahli akademik kanan dari institusi awam tempatan, pengamal pencegahan ekstremisme ganas (CVE) dan pemimpin agama yang bertauliah.

Melalui MYPA, para peserta diharap menjadi duta keamanan di media sosial dan komuniti pelajar mereka, mempromosikan keamanan, dan menyebarkan kesedaran tentang bahaya ekstremisme ganas.

Datuk’ Ganeson Sivagurunathan, Ketua Pengarah SEARCCT, yang merasmikan pelancaran hari ini di kampus Istac Kuala Lumpur berkata, “Keganasan hari ini adalah transnasional; kumpulan pengganas diketahui beroperasi di luar sempadan yang tetap dan menyelaras kegiatan mereka merentasi rangkaian transnasional.

“Oleh itu, amat penting bagi kita untuk memulakan dan mengekalkan penglibatan dalam bidang ini, terutamanya dengan memanfaatkan platform nasional, serantau dan global yang tersedia untuk kita.

“Sebagai sebuah entiti di bawah Kementerian Luar Negeri, SEARCCT menggalakkan penglibatan yang membina antara pihak berkepentingan awam, swasta dan masyarakat sivil untuk membina jambatan baharu dalam usaha mencegah dan menentang ekstremisme ganas.

“Saya percaya program Belia Malaysia sebagai Duta Keamanan 2022 mewujudkan jambatan sedemikian dan mengukuhkan visi SEARCCT untuk bekerjasama dengan belia Malaysia bagi membina sebuah negara yang lebih cintakan keamanan.”

Sementara itu, sebagai rakan kongsi antarabangsa program itu, Brian D. McFeeters, Duta Besar A.S. ke Malaysia menekankan, “Saya sering menyatakan bahawa memperkasakan belia merupakan salah satu kunci untuk memerangi banyak cabaran paling mendesak kita, dan sudah tentu dalam kes memerangi ekstremisme ganas.

“Saya amat percaya bahawa anak muda kita lebih bersedia untuk menangani cabaran global ini dan boleh membantu dalam mewujudkan masa depan yang lebih aman dan mampan untuk generasi akan datang.”

Profesor Madya ISTAC, Dr Danial Mohd Yusof berkata, “MYPA berfungsi untuk memberi inspirasi kepada generasi milenial dan generasi Z tentang matlamat hidup, kepentingan hubungan keluarga dan rakan sebaya, dan untuk meningkatkan pemahaman dan pengetahuan belia tentang isu ekstremisme dan keganasan melalui pelbagai sumber dari segi keselamatan, undang-undang, forum Islam dan dialog sivil, serta penggunaan media sosial.”

Organisasi media belia MyKampus Radio berfungsi sebagai saluran yang menghubungkan semua rakan kongsi dan memastikan fasilitator, peserta, dan populasi pelajar yang lebih meluas akan mendapat manfaat daripada pengalaman ini.  Pengalaman MYPA akan meningkatkan keupayaan pemimpin belia untuk membina Malaysia yang lebih berbilang budaya dan bertolak ansur, bermula dengan kampus dan komuniti mereka sendiri.

(Visited 193 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button