Politik

Masih ada peluang muafakat tiga parti – Bersatu

IPOH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin bahawa masih ada ruang penyatuan di antara mereka bersama UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tiada tempoh masa tertentu diperlukan bagi menyatukan parti-parti tersebut demi kebaikan bersama.

Menurutnya, segala keputusan bergantung kepada UMNO kerana sebelum ini Bersatu dijemput untuk bersama-sama menyertai MN.

“Masalah UMNO nak jemput kami atau sebagainya, terpulanglah. Kalau orang nak buat kenduri tak nak jemput kita makan, rezeki kat rumah kita pun ada. Beras kita masak nasi sendiri, kalau makan dengan kicap dan telur goreng pun kita makan kenyang juga Insya-ALLAH.

“Saya kira rakyat sekarang ini makin faham keadaan yang sebenarnya. Bersatu kini fokus untuk mempersiapkan diri bersama dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional, namun kami juga komited memberi sokongan padu kepada kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri. Itu yang jelas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Peringkat Kebangsaan di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Ramona Mohd Razali dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof.

Ahmad Faizal berkata, jika benar seseorang pemimpin atau parti mahu melihat perpaduan bersama dalam ketiga-tiga parti, mereka akan bersungguh-sungguh ke arah itu dan bukan hanya sekadar bercakap sahaja.

Pada Sabtu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan, tindakan UMNO melanggar Piagam MN menjadi punca Pas menolak untuk bersama gabungan itu.

Menurutnya, ketika MN ditubuhkan, piagam atau perjanjian yang dibuat menyatakan bahawa gabungan itu boleh menerima parti-parti lain termasuk Bersatu.

(Visited 283 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button