NasionalRencah Hidup

Muzium 3D Kertih: Tarik pelancong, cipta peluang pekerjaan komuniti setempat

Orang 'hati kering' sahaja boleh buka muzium!

SEJAK tahun 2018 lagi, idea untuk membuka sebuah muzium di Kertih, Terengganu berlegar-legar dalam kepala Lukman Ismail.

Ketika itu, beliau tidak mampu untuk merealisasikan impiannya itu disebabkan tuntutan tugas dan tanggungjawab yang digalas di bahunya sebagai salah seorang Pengarang di Utusan Malaysia.

Sebulan sebelum Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad gulung tikar, Lukman atau mesra dengan panggilan Luke dalam kalangan wartawan Utusan Online suatu ketika dahulu, mengambil keputusan untuk mendaftarkan sebuah syarikat sebagai penampan masa hadapan sekiranya berlaku sesuatu yang menjejaskan diri dan keluarganya.

Ternyata firasat beliau benar belaka apabila sebulan selepas mendaftar syarikat Serata Cakra Resources, Utusan gulung tikar dan beliau antara kira-kira 815 kakitangan yang kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata.

Hari ini, sebagai Pengarah Urusan di Serata Cakra Resources, Lukman berjaya membuka Muzium 3D Kertih yang telah pun beroperasi sejak awal tahun ini iaitu pada 2 Januari, baru-baru ini.

Memenuhi undangan sebagai tetamu jemputan dalam segmen secara langsung di Suara Merdeka, Live Suara Merdeka pada tengah hari tadi, Lukman melahirkan rasa syukur kerana bukan sahaja dapat membuka muzium tersebut tetapi secara tidak langsung, mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk setempat atau komuniti sekitar Kertih, Terengganu.

“Saya bersyukur kerana dapat membuka Muzium 3D di Kertih kerana sebelum ini, sebagai anak jati Kertih, saya tertanya-tanya, kenapa kita tidak ada muzim yang boleh menjadi salah satu tarikan pelancongan domestik dan luar negara.

“Hasrat itu lahir pada tahun 2018 tetapi tidak dapat dilakukan sehinggalah selepas Oktober 2020, selepas setahun hilang pekerjaan.

“Dengan modal RM15,000 saya memulakan langkah untuk membuka Muzium 3D Kertih dan menghadapi cabaran kerana harga barang di Kertih begitu tinggi,” katanya.

Menurut beliau, kewujudan Muzium 3D Kertih ini telah mendapat perhatian daripada Muzium Negeri Terengganu dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) negeri.

“Muzium Negeri Terengganu telah menghantar beberapa wakil mereka untuk memberikan khidmat nasihat kepada kami terutama dari segi kandungan galeri kami.

“Manakala pihak MOTAC Terengganu pula menyatakan komitmen untuk membantu kami terutama memberikan penilaian kepada galeri kami,” katanya.

Tujuan dibuat penilaian adalah untuk mengembangkan status Muzium 3D Kertih yang dibina di atas keluasan tapak 5,000 kaki persegi itu.

“Penarafan atau sokongan daripada pihak MOTAC dan Muzium Negeri Terengganu amat bermakna bagi saya dan segala khidmat nasihat untuk penambahbaikan ke atas Muzium 3D ini diberi oleh para pegawai berkenaan.

“Antara khidmat nasihat yang dihulurkan adalah dari aspek paparan lukisan 3D di galeri kami yang mana ia mencakupi lukisan permainan tradisional di zaman kanak-kanak.

“Itu juga adalah konten yang perlu dikemas kini dari semasa ke semasa yang mana lukisan-lukisan yang dipaparkan di muzium, akan diganti setahun sekali,” katanya sambil menambah, pertukaran lukisan di muzium bergantung kepada keadaan dan idea tiga orang pelukis tempatan yang dilantik.

Kata Lukman, sekiranya tiada aral melintang, Muzium 3D Kertih akan dibuka secara rasmi pada 21 Februari nanti. – SM

(Visited 670 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button