Nasional

Muszleem Malaysia gigih bantu masyarakat Islam di Kemboja

DIDATANGI seorang wanita daripada sebuah kampung terceruk di Kemboja dengan membawa sepaket minyak masak untuk ditukarkan dengan sebungkus daging korban merupakan momen sedih yang tidak akan dilupakan oleh seorang aktivitis Pertubuhan Muslim Sejahtera Malaysia (Muszleem Malaysia).

Bagi Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu, Ahmad Fadzil Fauzi, 40, wanita tersebut sanggup berjalan jauh dari kampungnya semata-mata untuk hadir ke majlis korban yang dianjurkan pihaknya dua tahun lepas.

“Dalam Bahasa Campa, wanita tua itu meminta sebungkus daging dan di tangannya terdapat sebungkus minyak masak yang mahu ditukarkan seperti dalam konsep sistem barter ekoran kedaifan penduduk di situ,” katanya ketika ditemui dalam satu sesi temubual bersama media baru-baru ini.

Turut hadir, setiausaha pertubuhan tersebut, Ahmad Sairul Azali Mohamad, 38.

Kisah sedih  itu merupakan satu daripada 1,000 lagi momen suka duka Muszleem Malaysia ketika menjalankan kerja-kerja amal di Kemboja sejak tahun 2012 dengan ibadat korban yang hanya ketika itu melibatkan enam ekor lembu sahaja.

Pertubuhan itu juga turut terlibat membangunkan perigi air bersih pada tahun 2013 di Wilayah Tbong ‘Khamun iaitu sebuah kawasan bersempadan dengan Vietnam.

Selain itu, penubuhan sekolah dan madrasah Darul Quran untuk memberi kemudahan pembelajaran dan asrama bagi pelajar Islam di Kemboja juga giat dijalankan oleh NGO berkenaan.

“Kami memilih Kemboja kerana negara itu memerlukan khidmat bantuan yang mana rata-rata penduduk Islam di sana hidup dalam serba kekurangan, kedaifan dan kemiskinan.

“Jika di Malaysia kita boleh makan daging setiap hari tetapi penduduk di sana hanya makan daging setahun sekali sahaja.

“Itupun jika ada sumbangan daging korban yang dijalankan oleh pihak NGO di sana sempena Hari Raya Haji.

“Harga daging di sana terlalu mahal hingga boleh mencecah RM80 sekilogram,” jelasnya.

Mengikut rekod pada tahun 2018, Kemboja memiliki lebih daripada 400,000 penduduk Islam yang kebanyakannya tinggal di kawasan luar bandar.

Mereka yang tinggal di kawasan pendalaman juga tidak mendapat manfaat daripada kemudahan asas seperti air dan eletrik.

Ahmad Fadzil menjelaskan, ibadat korban sehingga kini tetap dijalankan dengan bayaran RM350 seorang dan pihaknya mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia yang berkemampuan agar tampil menyokong projek tersebut.

Mengulas mengenai projek perigi pula, beliau berkata, sejak tahun 2013, pihaknya telah membina sebanyak 1,001 buah perigi dengan melibatkan kos sebanyak RM1,500 bagi setiap perigi.

Jelas beliau, sebelum mendapat manfaat daripada kemudahan perigi itu, penduduk kampung terpaksa berjalan sejauh satu kilometer untuk mendapatkan bekalan air dari sungai dan kerja-kerja tersebut dijalankan oleh kaum wanita.

“Kami mengalu-alukan penyertaan rakyat Malaysia yang sudi untuk terlibat dalam projek ini dengan harga serendah RM150 bagi seorang dan untuk membina sebuah perigi pihak kami memerlukan 10 orang peserta.

“Kami ada kakitangan di sana yang akan menguruskan projek pembinaan perigi dan sebuah perigi akan digunakan oleh lima keluarga di kampung berkenaan,” jelasnya.

Selain itu, pihaknya juga sedang aktif mengumpul dana untuk membangunkan sekolah yang turut dijadikan madrasah bagi kanak-kanak untuk mempelajari agama Islam kerana sekolah kerajaan di sana tidak menyediakan pembelajaran khusus agama Islam.

Hanya terdapat satu sekolah sahaja iaitu Madrasah Darul Quran di Tbonng Khamum yang dibina pada tahun 2013 yang menempatkan 175 pelajar serta lapan guru.

“Kami buka wakaf 5,000 lot yang mana satu lot khusus hanya bernilai RM50.

“Kos membina asrama di sekolah tersebut ialah sebanyak RM250,000 dan 2,855 lot sudah dijual,” ujarnya.

Tambah beliau, tenaga pengajar di Kemboja terdiri daripada ustaz yang belajar di pondok-pondok di Malaysia atau Timur Tengah.

Mereka tidak dibayar gaji atau pendapatan tetap daripada kerajaan sebaliknya hanya mengharapkan sumbangan daripada NGO.

Selain itu, mengulas mengenai sumbangan kepada golongan yang memerlukan di Malaysia, pihaknya tetap menghulurkan bantuan kepada rakyat tempatan tetapi tidak memberi tumpuan terhadap projek skala besar kerana terdapat kekangan birokrasi pemimpin setempat khususnya pemimpin politik.

“Kami tetap menyampaikan sumbangan seperti peralatan sekolah dan juga menganjurkan majlis berbuka puasa,” jelasnya.

Ditanya tentang aktiviti baharu pada tahun 2020, Ahmad Fadzil menerangkan, pihaknya akan melakukan ibadah korban di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak serta bekerjasama dengan NGO lain untuk menghulurkan bantuan di negara Islam seperti Yaman, Syria, Myanmar dan Filipina.

Mereka yang berminat untuk menderma dan membuat sumbangan kepada mana-mana projek yang diadakan di Kemboja, boleh menghubungi di talian 013-950 4602, 019-270 9744.

Segala aktiviti Muszleem Malaysia, boleh diikuti di Facebook: Muszleem atau Instagram: Muszleem atau laman web: www.muszleem.com. – SM

(Visited 1,177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button