Politik

Sahruddin Mohon Pihak Berkuasa Beri Kelonggaran Kepada Pengamal Media Buat Liputan

Setiausaha Perikatan Nasional Negeri Johor, Dato’ Dr. Sahruddin Jamal memohon jasa baik pihak berkuasa untuk memberikan kelonggaran kepada pengamal media pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau dimaklumkan, ada pengamal media telah dikompaun oleh pihak berkuasa kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada Hari Penamaan Calon PRN Johor.

“Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat rakan pengamal media yang telah dikompaun kerana didakwa melanggar SOP iaitu tidak menjaga penjarakan fizikal ketika menjalankan tugas pada Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon, hari ini.

“Tindakan penguatkuasaan ini bukan suatu yang luar biasa memandangkan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan itu perlu dihormati serta dipatuhi terutama ketika negara dalam proses pemulihan yang menuntut komitmen semua pihak mengekang wabak COVID-19.

“Justeru, saya memohon jasa baik pihak SPR agar memberikan sedikit lagi kelonggaran kepada pengamal media untuk melaksanakan tugas mereka dalam memberikan laporan berita yang pantas, telus dan terkini kepada Bangsa Johor yang juga merupakan pengundi pada pilihan raya ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sahruddin yang juga calon Perikatan Nasional Dewan Negeri Johor Kawasan N.07 Bukit Kepong sebelum ini pernah memohon kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadikan PRN Johor sebagai mesra calon, parti politik dan pengundi.

Ujarnya, kini seruan sama dizahirkan agar pilihanraya kali ini bersifat mesra media di mana kumpulan profesional itu akan bertugas sepanjang tempoh PRN Johor berlangsung di kesemua kawasan Dewan Negeri Johor.

“Kepada rakan pengamal media, saya berharap anda semua dapat terus mematuhi SOP ditetapkan pada ketika ini, dan sentiasa mengutamakan soal keselamatan serta kesihatan diri sepanjang tempoh PRN Johor berlangsung.

“Perikatan Nasional sentiasa mengiktiraf peranan dan komitmen rakan pengamal media yang sentiasa memberikan sokongan berterusan selama ini. Saya mendoakan agar segala urusan rakan pengamal media sentiasa dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Dr Sahruddin merakamkan harapan agar perjalanan PRN Johor berlangsung dengan baik, tenang dan matang tanpa sebarang kacau ganggu sistem demokrasi tanah air.

Beliau juga menzahirkan rasa syukur kerana menyempurnakan proses mengemuka kertas penamaan calon di IKTBN Pagoh, selain berharap proses sama dilalui oleh calon Perikatan Nasional lain berjalan dengan lancar.

(Visited 115 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button