Bola SepakSukan

MUSA selesaikan hutang gaji pemain tempatan

PERSATUAN Bola Sepak Melaka United (MUSA) berjaya menyelesaikan hutang gaji semua pemain tempatan musim lepas, termasuk bekas kapten pasukan, Shukor Adan dan seorang pemain import, Jang Suk Won.

Presiden MUSA, Damian Yeo Shen Li berkata pihaknya yakin dapat menyelesaikan tunggakan gaji pemain import yang lain dan pegawainya mengikut tempoh yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebelum tarikh akhir pada 31 Jan ini.

“Semua pemain tempatan termasuk Shukor sudah diselesaikan pada 15 Jan dan Jang pada hari ini, namun kita masih berhutang kepada beberapa pemain import 2018 dan 2019 serta pegawai 2018 dan 2019, selain pemain-pemain dari skuad Presiden, Belia, Bawah 17 dan Bawah 14.

“Kita akan selesaikan dalam bulan ini,” katanya menerusi kiriman pesanan ringkas aplikasi Whatapps kepada Bernama, di Melaka hari ini.

Dalam pada itu, Damian berkata bagi mengelakkan isu tunggakan gaji terus berlarutan, pihaknya turut menjalinkan kerjasama strategik bersama beberapa syarikat korporat dan tajaan, selain melalui jualan pas bermusim, kepada penyokong yang kini mencatatkan hasil jualan kira-kira RM18,000.

Selain Jang dari Korea Selatan, pada musim lepas Melaka United turut menggunakan khidmat empat lagi pemain import iaitu Luka Milunovic (Serbia), Davy Claude Angan (Ivory Coast), Patrick Reichelt (Filipina) dan Dominik Balic (Crotia).

FAM sebelum ini mengesahkan Melaka United, PDRM dan Kelantan, sebagai tiga pasukan yang diberi amaran terakhir badan induk itu, susulan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

FAM sudah mengeluarkan surat kepada semua pasukan itu untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji dalam tempoh yang diberikan, dan sekiranya gagal berbuat demikian, mereka bakal berhadapan hukuman pemotongan tiga mata, bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Sekiranya pasukan terbabit masih gagal menyelesaikan isu tersebut hingga tarikh akhir kedua yang ditetapkan iaitu pada 28 Feb depan, pasukan itu akan dikenakan hukuman tambahan, iaitu pemotongan sebanyak enam mata lagi.

Malah, jika masih gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji hingga tarikh akhir ketiga yang diberikan iaitu pada 30 Mac ini, pasukan terbabit turut berhadapan hukuman berat, iaitu disingkirkan daripada liga. – BERNAMA

(Visited 47 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button