Analisis

Banyak lagi kes begini, diherdik, dimalukan asam garam pelajar UiTM

Dek kerana berbumbungkan pusat pengajian tinggi yang ditaja oleh MARA, dihina dengan cara pandangan sinis, dihamun dengan kata-kata kesat dan diremeh-remehkan di khalayak ramai, sudah menjadi asam garam para pelajar UiTM.

Pelajar dilayan seolah-olah mereka yatim piatu.

Mengapa pensyarah UiTM sebegitu kejam? Jawapannya mudah saja kerana mereka tahu anak-anak ini datang dari latarbelakang keluarga miskin.

Ada yang ibu bapa nyaris buta huruf, sudah tentu tidak berani berdepan dengan pensyarah yang berjela senarai universiti luar negara menjadi tempat menimba ilmu serta mendapat pengiktirafan atas kepandaian lagi kebijaksanaannya.

Anak-anak yang polos ini lagilah hanya pasrah dengan ketentuan nasib.

Dari zaman ITM hingga ke zaman UiTM, tidak banyak berubah. Pelbagai kisah diungkapkan oleh pelajar. Ibu bapa yang mendengar hanya mampu mengurut dada menahan sabar.

Bila kejadian menghina pelajar itu ditularkan, ia hanya sekelumit daripada banyak lagi kes yang berlaku.

Kisah pensyarah sengaja menggagalkan pelajar juga bukan perkara baharu. Terlajak sedikit tutur kata, tiada lagi maaf bagi mu.

Walaupun tidak ramai bersikap sedemikian, tetapi ia sudah cukup menggelapkan masa hadapan anak bangsa sendiri.

Dengan keputusan yang kurang memberangsangkan, ditambah pandangan sinis industri dan terpaksa bersaing dengan pusat pengajian swasta yang melahirkan graduan gilang gemilang, apa lagi kelebihan yang ada pada graduan UiTM.

Sudahlah dianggap tidak boleh berfikir kerana tidak diajar jadi pemikir, sebaliknya dimomok sebagai graduan yang hanya ibarat pahat dengan penukul sahaja.

Namun itu semua tidak menghalang para graduan anak bangsa ini daripada mencapai ke tahap tertinggi dalam bidang masing-masing.

Para graduan UiTM sangat tangguh berhadapan tantangan. Siapa berani memperlekeh wartawan yang lahir dari sekolah sebaran am?

Cuma cukuplah perangai mahu menjadi Tuhan dalam kalangan pensyarah. Ini sudah 2022. Dua tahun melepasi Wawasan 2020.

Jadilah pensyarah yang mendidik, bukan hanya hebat mengherdik.

 

(Visited 1,550 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button