Belang Bertempat

Munafik Politik Melayu: Antara Bangsa, Kuasa dan Kepura-puraan

Di negara ini, sentimen bangsa adalah komoditi politik yang tidak pernah luput ditunggang. Bila kuasa tergugat, mulalah dimainkan naratif Melayu tertindas. Katanya, walau menjadi kaum majoriti, kuasa ekonomi masih tidak berpihak kepada kita. Kekayaan negara kononnya telah dibolot oleh “pendatang”. Yang tinggal hanya sisa untuk anak watan.

Namun bila diselak realitinya, siapakah yang menguasai kek ekonomi negara sejak Merdeka? Siapakah yang memegang tampuk kuasa lebih 60 tahun lamanya? Dan siapakah yang duduk paling hampir dengan kantung negara? Jawapannya mudah: elit politik Melayu sendiri.

Mereka ini jugalah yang saban tahun melaung tentang kemunduran bangsa, tetapi hidup senang lenang hasil projek kerajaan, kontrak rundingan terus, dan dana-dana pembangunan yang kononnya untuk rakyat tetapi berakhir di akaun luar pesisir. Dalam dokumen Pandora dan Panama Papers, nama-nama Melayu memenuhi senarai — bukan petani FELDA, bukan nelayan Kuala Kedah, tapi ‘Ismet Ulam Raja’, simbolik kepada para penguasa yang menyorokkan kekayaan daripada rakyat.

Melayu Tertindas? Siapa Yang Tertindas?

Ungkapan “Melayu tertindas di tanah sendiri” menjadi senjata retorik saban musim pilihan raya. Tapi penindasan yang bagaimana? Apakah benar Melayu masih belum dibela, atau sebenarnya marhaen Melayu terus ditindas oleh pemimpin yang menyamar sebagai pembela?

DEB satu ketika dahulu membawa harapan. Ia digubal demi membetulkan ketidakseimbangan ekonomi selepas penjajahan. Tetapi selepas Tun Razak dan dasar-dasar pro-rakyatnya, roh DEB dikorupkan. Ia menjadi alat untuk mengkayakan kroni, bukan untuk memartabatkan bangsa. Proklamasi ‘perjuangan Melayu’ dijadikan lesen untuk monopoli kontrak dan lesen eksklusif – atas nama agenda nasional.

Ketakutan Sebagai Senjata Kuasa

Trauma sejarah – dari zaman British hingga ke 13 Mei – digunakan untuk menanam mentaliti ketakutan. Kata mereka, jika hak Melayu tidak dipertahan, negara ini akan tergadai. Ironinya, mereka yang memegang kuasa inilah yang menjual tanah rizab, melelong GLC, dan membiarkan institusi Melayu rosak dek rasuah dan salah guna kuasa.

Segelintir pemimpin Melayu takut kepada satu perkara: bangsa yang boleh berfikir. Kerana bila rakyat celik, segala permainan wayang akan terbongkar. Mereka tidak mahu Melayu menjadi mandiri. Mereka mahu kita terus bergantung – supaya mereka kekal relevan, kekal berkuasa, dan kekal mengaut laba.

Dosa Kolektif Yang Diam-diam Kita Restui

Kita juga tidak bebas dari kesalahan. Ada dalam kalangan kita yang masih menyokong atas nama “agama dan bangsa”, walaupun terang-terang disogok, dibeli dan diperbodoh. Kita percaya bahawa hanya mereka ini yang mampu jaga Melayu, walau setiap hari mereka meludah ke wajah bangsa sendiri.

Mereka berkata kita malas. Tetapi siapa yang mewarisi kemiskinan berzaman, siapa yang bangun jam 4 pagi menjual nasi lemak, siapa yang berhimpit dalam LRT demi sesuap rezeki? Mereka menghina kegagalan kita – sedangkan kegagalan sebenar adalah mereka yang diberi amanah, tetapi khianat.

Harapan Di Hujung Jalan

Rakyat Malaysia, khususnya Melayu, bukan lagi bodoh. Anak muda kini bijak menilai. Mereka membaca, membanding, dan semakin menolak politik tokok tambah. Kita tidak perlu lagi percaya bahawa menyokong bangsa bermaksud menyokong parti tertentu. Kita boleh memilih kebenaran, kecekapan dan integriti – tanpa menggadai identiti.

Maka, cukup-cukuplah mempamer wajah munafik di pentas bangsa. Usah lagi menjual bangsa demi projek. Jika benar mahu membela Melayu, buktikan dengan dasar telus, peluang saksama, dan pentadbiran yang bersih.

Kerana Melayu tidak bodoh. Melayu cuma terlalu sabar. Dan bila kesabaran itu habis, perubahan akan datang – bukan dengan air mata, tapi dengan undi.

Salam hormat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button