JenayahNasional

Rampasan ganja RM1.13 juta, bekas Koperal antara dicekup

POLIS Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan sepasang suami isteri bersama seorang lelaki dan merampas 451kg ganja bernilai RM1.13 juta dalam dua serbuan di Penaga, Kepala Batas, Jumaat lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan dijalankan, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri melancarkan operasi terancang dengan menyerbu sebuah rumah di Jalan Bendahara, Penaga pada pukul 7.30 malam.

“Semasa serbuan itu, terdapat seorang lelaki yang berada di atas sebuah motosikal di hadapan rumah tersebut dan pemeriksaan ke atas suspek yang merupakan bekas anggota polis itu menemukan 10 ketulan mampat ganja seberat 10.2kg bernilai RM25,000.

“Polis kemudiannya membuat pemeriksaan di rumahnya sebelum menahan isteri lelaki itu yang bekerja kilang dan merampas 443 ketulan ganja seberat 441kg bernilai RM1.1 juta di situ.

“Pasangan itu masing-masing berusia 33 tahun dan semasa serbuan hanya terdapat mereka berdua sahaja,” katanya menurut Bernama.

Katanya lagi, ekoran penahanan pasangan suami isteri itu, polis menyerbu sebuah lagi rumah juga di kawasan Penaga iaitu lima minit dari kediaman pertama dan menahan seorang lagi lelaki berusia 42 tahun yang merupakan ahli perniagaan.

Shuhaily berkata, tiada sebarang rampasan dadah bersama lelaki itu tetapi polis merampas wang tunai RM37,000 bersamanya dan pihaknya percaya dia merupakan dalang utama sindiket pengedaran dadah yang turut mempunyai rangkaian di luar negara.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati mereka mendapatkan bekalan ganja itu dari rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa di negara jiran dipercayai Thailand dan menyeludup masuk ke sini dengan menggunakan jalan laut.

“Sindiket berkenaan menjadikan rumah pasangan itu sebagai tempat menyimpan stok-stok ganja tersebut sebelum mereka mengedarkannya untuk pasaran tempatan, kediaman mereka tidak jauh dengan kawasan laut,” katanya.

Tambah beliau, bekas anggota polis berpangkat koperal itu bertugas di Marang, Terengganu sebelum ini dan pernah berkhidmat selama 11 tahun dibuang kerja pada 2018 kerana kesalahan berkaitan dadah.

Menurut beliau lagi, sindiket itu dipercayai bergiat aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak awal 2022 dan susulan penahanan mereka polis menyita tiga kereta dan dua motosikal yang kesemuanya bernilai RM416,500.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek bekas anggota polis positif dadah dan mempunyai rekod lampau juga berkaitan dadah. Semua tiga individu itu kini direman sehingga 20 Jan ini bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – SM

(Visited 185 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button