Politik

Muka baharu politik Perlis

HARI minggu kita baca juga kisah politik dan kali ini, yang melanda Perlis. Dalam catatannya, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar menyatakan pendirian Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau yang menyambut baik keputusan pucuk pimpinan parti berhubung pelantikan Datuk Seri Azlan Man selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perlis.

Kata beliau, pelantikan ini diharapkan dapat membuka lembaran baru dalam lapangan politik negeri Perlis khususnya di peringkat Badan Perhubungan UMNO Negeri.

“Semuga dengan pelantikan ini akan dapat memantapkan lagi penyelarasan gerak kerja politik dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri ini yang sekian lama berada di dalam dilema disebabkan permasalahan berkaitan adanya dua nakhoda yang mengemudi sebuah kapal,” kata Syed Atif.

Menurut beliau lagi, pergerakan ini juga menyanjung tinggi komitmen dan kesungguhan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam membawa pembaharuan yang positif untuk mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Dalam suasana politik dan ekonomi negara yang semakin goyah disebabkan keangkuhan, tegas Syed Atif, sikap pentingkan diri dan ketidakpedulian kerajaan yang ada pada hari ini, ketegasan pucuk pimpinan dalam percaturan mengelakkan risiko kebocoran maklumat dan strategi parti, amatlah bertepatan dan kena pada masanya.


“Di kesempatan ini juga ingin kami rakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Shahidan Kassim yang telah menabur khidmat bakti memimpin UMNO Perlis dalam tempoh yang begitu lama, selama lebih 20 tahun.

“Semuga beliau dapat terus memberikan sokongan dan kerjasama yang membina dan tidak berbelah-bahagi untuk membantu memperkukuhkan parti dan menghormati keputusan-keputusan rasmi parti,” katanya.

Beliau berkata, penghargaan dan kenang budi ini bukanlah jalan sehala kerana teramat banyak juga jasa bakti parti UMNO ini (serta ahli-ahlinya) yang seharusnya dihargai dan dikenang dengan sebaik-baiknya.

“Resmi berjuang dan berorganisasi, ada masanya kita disokong dan ada masanya kita perlu menyokong,” ujarnya.

Syed Atif juga menyatakan, besarlah harapan Pergerakan ini agar seluruh ahli dan penyokong UMNO di Perlis terus istiqomah dalam perjuangan serta bersiap-sedia untuk mengharungi lembaran baharu perjuangan.

“UMNO Perlis tidak ketandusan pemimpin dan setiap pemimpin tentunya mempunyai corak kepimpinan yang tersendiri.

“Justeru sebagai sebuah parti besar yang dominan, UMNO Perlis tidak boleh bersikap statik dan selama-lamanya hanya bergantung kepada seorang individu untuk memimpin seolah-olah orang lain semuanya tak layak,” katanya. – SM

(Visited 109 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button