fbpx
Politik

Mujahid ajak UMNO bentuk kerajaan bersama Anwar

Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa mendakwa UMNO telah menjadi mangsa kumpulan ‘pembelot’ dalam Kerajaan Perikatan Nasional.

Dalam artikel terbaharu bertajuk ‘Membuang Sial Langkah Sheraton’ yang dimuat naik di Facebooknya hari ini, beliau mengajak UMNO untuk bersama-masa Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan.

Mujahid berkata, ‘mangsa pembelot’ masih ada ruang untuk melakukan sejarah dengan bersama membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan majoriti yang kukuh.

“Kunci memimpin pemulihan besar-besaran negara kini berada di genggaman DSAI dan 91 MP yang solid bersamanya.

“Para pembelot telah dikenali rakyat manakala mangsa-mangsa pembelot masih ada ruang untuk melakukan sejarah dengan bersama membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan majoriti yang kukuh.

“Saya merayu rakan-rakan Ahli Parlimen rentas politik kepartian supaya kali ini marilah kita berganding bahu membina ketahanan negara di waktu krisis ini,” kata Mujahid.

Menurut Mujahid, UMNO sebagai mangsa sedar bahawa jika mereka terus bersama pembelot bahana ketulahan sumpah sheraton akan menghantui parti itu.

“Sebab itu kita dapati suara UMNO dah mula lantang mengkritik hubungan pelik antara mereka dan TSMY. Mereka sokong kerajaan PN tetapi enggan memetrai perjanjian.

“Pada awal langkah sheraton, niat mereka ialah mahukan parlimen dibubarkan awal untuk membuka jalan kepada PRU.

“Tetapi apabila opsyen itu tertutup mereka ambil sikap menyokong PN tetapi dalam keadaan penuh berhati-hati sambil bergelut memahami kesetiaan PAS dalam MN yang main kayu tiga dengan PN,” kata Mujahid.

Mujahid turut mendakwa langkah Anwar menggamit kesedaran dari kelompok yang menyokong pembelot dan mereka perlu keluar dari sumpahan Sheraton bagi menstabilkan keadaan dari ketidaktentuan yang berlaku.

Justeru katanya, UMNO perlu sedar bahawa demi survival politik, parti itu perlu bangkit dalam keadaan bermaruah dan tidak diperbudakkan oleh parti hingusan seperti Bersatu.

“Tapak UMNO masih kukuh, mereka ada masa untuk reboot dan kembali berpencak di medan demokrasi untuk membetuli keadaan.

“Tidak masuk akal untuk kekal disumpah ‘sial sheraton’ sedangkan DSAI berusaha keras membuangnya. Negara memerlukan MP-MP untuk membentuk satu majoriti yang lebih kukuh dan kerajaan yang stabil dengan sokongan rentas kepartian,” kata Mujahid.

Bagaimanapun katanya, ketika ini hanya ego UMNO sahaja yang menghalang parti itu untuk keluar dari sumpahan kerajaan PN.

“Ego terbesar UMNO setakat ini ialah ‘tiada DAP’ walaupun UMNO tahu tulahan sheraton lebih memudaratkannya dan berpotensi merosakkan negara.

“Apalah ego itu jika dibandingkan survival UMNO yang semakin hari didesak oleh kepimpinan dan akar umbi untuk tinggalkan kerajaan PN. UMNO ada ego politiknya, antara lain ego BNnya dan ego MNnya dan ego ‘No DAP’,” pujuk Mujahid.

Katanya, ego politik tanpa melihat kepentingan negara sudah tidak relevan, apatah lagi dalam suasana krisis pandemik hari ini.

Justeru Mujahid mengajak UMNO meletakkan super egonya diletakkan pada landasan yang menguntungkan semua pihak.

“Ya..memang sukar untuk kita berkrompomi dengan super ego kita kerana kita akan dianggap tidak berperinsip tetapi janganlah pula menutup pintu rundingan kerana rundingan adalah cara terbaik untuk kita mencari ruang-ruang supaya prinsip kita diimbangi dengan keperluan lebih besar di luar parti kita,” hujah Mujahid.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button