
Mujahid ingatkan Sanusi jangan fitnah Amanah
SHAH ALAM – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan supaya tidak keliru dengan dakwaannya bahawa Parti Amanah Negara (Amanah) lahir dari parti DAP.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan itu sama seperti ramai ahli Pas yang dikelirukan oleh pemimpin mereka dengan dakwaan pelik tanpa membuat kajian rapi dan menjadikannya sebagai bahan politik bermotifkan perkauman.
Ujar beliau, laporan polis dibuat kerana dakwaan Amanah dilahirkan oleh DAP, mengukuhkan lagi naratif jahat perkauman yang didakwa dibawa oleh Pas bagi memecah belahkan perpaduan hari ini.
“Amanah yang akan berusia 10 tahun pada 16 Ogos 2025 tetap istiqamah dengan cita-citanya untuk membawa rahmah kepada rakyat Malaysia.
“Walaupun kami kecil tetapi kami tidak membawa politik fitnah dan kebencian, kami membawa politik rahmah dan kesatuan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu media melaporkan, Sanusi pada program Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia di Kedah pada Jumaat mendakwa Amanah ditubuhkan oleh DAP.
Mengulas lanjut mengenainya, Mujahid berkata, Muhammad Sanusi boleh terus memperlekehkan apa sahaja yang tidak sehaluan dengannya namun rakyat menatap setiap tutur kata dan tindakan Menteri Besar Kedah itu.
“Pentaksub Pas hanya akan mengulang fitnah bahawa Amanah adalah DAP kerana kejahilan fakta.
“Namun hari ini, panglima perang Pas berstatus Menteri Besar terbukti sah tarafnya semacam seorang pentaksub bercakap tanpa fakta,” ujarnya.
Tambah beliau, Amanah merupakan parti berpandukan kepada politik nilai dan bergerak dalam falsafah serta kerangka rahmah.
Jelasnya, parti juga bergerak dengan menghormati kepelbagaian di Malaysia dan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Slogan kami adalah Amanah, Progresif dan Peduli. RAHMAH adalah singkatan kepada nilai teras yang kami pegang, iaitu Rahmah, Amanah, Hikmah, Muafakat, Adil dan Hormat.
“Hasrat kami lahir kerana Pas membawa politik fitnah dan perpecahan bertopengkan Islam dalam labelnya bukan kerana kami disuruh oleh DAP,” menurutnya.