Nasional

Mujahid dipanggil kerana pertikai Agong lantik Muhyiddin

NAIB Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan mempertikai kuasa Yang DiPertuan Agong melantik Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke lapan.

Difahamkan , keterangan diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kira-kira pukul 5.30 petang.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Undang-undang, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dijalankan terhadap Mujahid dan seorang lagi pemimpin Parti Amanah Negara, Khalid Abdul Samad atas dakwaan mempertikaikan kuasa Yang DiPertuan Agong (YDPA) melantik Tan Sri Muhyidin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.

“Ya benar Mujahid diminta hadir ke Bukit Aman petang ini untuk diambil keterangan (USJT).

“Dia disiasat di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 233 AKM 1998 (Akta Komunikasi dan Multimedia),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.


Sebelum ini, satu laporan polis dibuat ke atas Mujahid dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung kenyataan mereka mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang pada Mac lalu. -SM

(Visited 100 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button