Nasional

122 individu terima darjah kebesaran Perak bagi 2020, 2021

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda di Balairong Seri Istana Iskandariah, hari ini.

Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan pengerusi jawatankuasa kerajaan negeri.

Pada istiadat berkenaan, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan darjah kebesaran negeri kepada 122 penerima bagi 2020 dan 2021.

Antara penerima hari ini, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr Norisah Mahat Nor serta bekas Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri, Zahari Zamlope yang dikurniakan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM).

Anugerah Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) pula dikurniakan kepada Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri; Pengarah Pertanian negeri, Norsiyenti Othman dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Zulqarnain Mohamad.

Penganugerahan hari ini melibatkan PCM (6), PMP (14), Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (12), Darjah Ahli Mahkota Perak (26), Pingat Pekerti Terpilih (28), Pingat Jasa Kebaktian (34) dan Pingat Lama Perkhidmatan (2). – BERNAMA

(Visited 413 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button