Nasional

CAAM gantung sementara Sijil AOC MYAirline

Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) digantung sementara berkuat kuasa hari ini, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Ini bagi membolehkan CAAM melakukan audit terperinci terhadap syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Norazman Mahmud berkata penggantungan sijil berkenaan di bawah Peraturan 193(3) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 adalah selama 90 hari sementara menunggu siasatan lanjut oleh CAAM.
“Audit keselamatan terperinci akan dijalankan terhadap MYAirline semasa penggantungan sementara ini untuk menilai semula keupayaan syarikat penerbangan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya pada 12 Okt lepas sehingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan ketara yang menyebabkan operasi perlu digantung, sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula oleh pemegang saham syarikat penerbangan itu.
AOC dikeluarkan bagi memberi kelulusan kepada pengendali operasi udara untuk terlibat dalam pengoperasian pesawat tertentu.
Menurut Norazman, antara aspek utama dinilai untuk pemberian dan pembaharuan AOC ialah kemampuan pihak pengendali operasi udara untuk menjalankan pengoperasian yang selamat dan selaras dengan peruntukan spesifikasi operasi.
Katanya, CAAM menjalankan audit keselamatan terperinci untuk menilai keupayaan dan kecekapan pengendali operasi udara dalam bidang pengangkutan udara komersial, operasi dan airworthiness (kelayakan terbang).
Menurut beliau, audit keselamatan telah dijalankan terhadap MYAirline dari 29 Mei hingga 1 Jun lepas bagi pembaharuan AOC dan pada masa itu, tiada penemuan yang menunjukkan terdapat masalah kewangan.
“Elemen senarai semak penunjuk kewangan seperti dalam Dokumen 8335 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) juga dimasukkan dalam proses audit keselamatan.
“Sebagai sebahagian daripada proses audit keselamatan, pemegang AOC perlu menyediakan bukti kemampuan kewangan kepada CAAM. Ini bagi memastikan pengendali operasi udara mempunyai sumber kewangan untuk menjalankan operasi yang dirancang,” katanya. – SM
(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button