ParlimenPolitik

Muhyiddin sindir Anwar Ibrahim lantik anak jadi pembantu walaupun tak bergaji!

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya sebagai pembantu.

Beliau berkata, walaupun pelantikan itu tidak disertakan pemberian gaji, ia boleh menimbulkan percanggahan kepentingan.

“Berhentilah bermain politik dan membuat keputusan cakap tak serupa bikin. Misalnya, tiba-tiba ada dasar menteri-menteri boleh lantik anak beranak sebagai pegawai.

“Walaupun tidak mengambil gaji, pelantikan ini boleh menimbulkan percanggahan kepentingan, atau dengan izin ‘conflict of interest’, dan berbaur nepotisme,” kata Muhyiddin (PN-Pagoh) ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat.

Ucapan Muhyiddin dipercayai merujuk kepada pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri, sebelum ini.

Pada 12 Februari lalu, Nurul Izzah mengumumkan tidak lagi berkhidmat sebagai penasihat kanan kepada Anwar.

Sebaliknya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat kepada menteri kewangan susulan pelawaan Pengerusi Penasihat Menteri Kewangan, Hassan Marican.

Bekas perdana menteri itu ketika mengulas lanjut berkata, pelantikan itu langsung tiada kaitan dengan keperluan rakyat yang mendesak ketika ini.

“Rakyat bukan nak lihat anak menteri, anak perdana menteri, memegang jawatan dalam kerajaan. Mereka nak lihat menteri dan perdana menteri buat kerja untuk rakyat,” katanya.

Kata Muhyiddin lagi, kerajaan sepatutnya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha memajukan ekonomi negara dan memelihara kebajikan rakyat.

“Itulah tugas hakiki kerajaan. Dengarlah suara rakyat yang mahukan pembelaan. Misalnya, apalah salahnya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu adalah kehendak rakyat bagi membantu meringankan beban mereka di kala susah ini,” katanya.

Muhyiddin juga mencadangkan moratorium pinjaman bank dikembalikan semula kerana keupayaan bank membuat untung ketika negara berdepan krisis pandemik Covid-19.

“Apalah salahnya jika bank-bank turut sama membantu rakyat dengan melaksanakan semula moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar bagi tempoh tertentu untuk meringankan beban rakyat akibat kesan inflasi dan kenaikan OPR (kadar dasar semalaman),” katanya.

Ketika meneruskan sesi perbahasan, beliau dihujani dakwaan terlibat memberi kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

Muhyiddin menjawab, “Itu adalah satu fitnah dan pembohongan.” – SM

(Visited 232 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button