Politik

Muhyiddin sedih Mohd Shafie tidak bersama dalam memimpin kerajaan

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluahkan kesedihan kerana Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang disifatkannya sebagai sahabat baik tidak bersamanya dalam memimpin kerajaan.

Perdana Menteri berkata beliau bersama Mohd Shafie merupakan rakan seperjuangan terutamanya dalam UMNO sehingga beliau dipecat dan Mohd Shafie membuat keputusan meninggalkan parti itu.

“Tetapi cerita yang agak saya sedih ialah waktu mana saya memimpin negara sebagai perdana menteri pimpinan negeri Sabah tidak bersama saya, itu (Mohd Shafie) sahabat baik saya kerana dalam soal politik ini kadang-kadang hari ini sahabat esok jadi lawan.

“Tetapi soal mentadbir negara, sebaik mungkinnya kerajaan Persekutuan dan negeri mesti sama, sehati dan sejiwa,” katanya yang turut menceritakan Mohd Shafie menyambutnya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama YAB Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Muhyiddin yang kali pertama melakukan lawatan ke negeri ini sebagai Perdana Menteri disambut Mohd Shafie dan gambar dua pemimpin melakukan fist bump di lapangan terbang itu kini dikongsi ramai pengguna media sosial dan internet.

Ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah Muhyiddin berkata, keputusan rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 Sept depan akan menentukan hala tuju pembangunan negeri itu pada masa akan datang, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap rakyat Sabah akan membuat pilihan bijak serta keputusan terbaik dalam pilihan raya berkenaan.

“Sudah pasti sebagai Perdana Menteri yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN), saya tidak mahu Sabah tertinggal di belakang kerana Sabah menjadi komponen penting negara kita.

“Apabila pilihan raya hampir tiba ini, saya nak saudara fikir baik-baik. Saya di sini sebagai perdana menteri bertanggungjawab supaya urusan-urusan membina negara Malaysia menjadi sebuah negara maju, makmur dan berjaya (yang juga) menjadi tanggungjawab pimpinan di peringkat negeri.

“Sebab itu mungkin baik juga ada pilihan raya. Kita betulkan sedikit apa-apa keputusan… (pilihan raya) dahulu sudah selesai, (pilihan raya) akan datang ada lagi keputusan baru. Apa keputusan yang rakyat Sabah buat nanti akan menentukan hala tuju Sabah untuk masa akan datang,” katanya.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga Naib Presiden Bersatu dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin merangkap Setiausaha Agung Bersatu.

Muhyiddin berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seharusnya sehaluan dalam membangunkan Sabah ke arah yang lebih mampan selain memastikan semua inisiatif untuk rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Sebaiknya, kerajaan Persekutuan dan negeri mesti sama sehati dan sejiwa. Saya tahu Sabah ada sumber dan sebuah negeri kaya raya. Banyak khazanah belum dibugar dan dibangunkan. Sabah sebuah negeri besar.

“Saya sedar masih banyak (pembangunan) harus dilakukan di Sabah, yang mana, kalau hanya diserahkan kepada kerajaan negeri sahaja tidak mungkin boleh selesai, kalau diserahkan kepada Persekutuan sahaja pun tak mungkin boleh selesai, tapi kalau diserahkan kepada kerajaan negeri dan persekutuan bersama-sama berjuang mungkin banyak masalah boleh selesai,” katanya.

Muhyiddin juga berkata dalam situasi negara berdepan cabaran ekonomi berikutan COVID-19, adalah penting urusan membantu membela nasib rakyat terjejas akibat pandemik itu dilakukan secara bersama-sama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. – BERNAMA

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button