Nasional
Trending

Muhyiddin panggil MB, KM mesyuarat esok

SATU mesyuarat antara Perdana Menteri dan Menteri Besar serta Ketua Menteri akan diadakan di Putrajaya susulan tiada pelaksanaan Perintah Darurat.

Tan Sri Muhyiddin turut dilapor menjemput Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk hadir mesyuarat sama yang dijadualkan berlangsung pada pukul 9.30 pagi.

Perkara itu disahkan pembantu Amirudin apabila ditanya pemberita mengenai perkembangan tersebut.

“Menteri besar telah dijemput dan akan hadir esok,” kata pembantu Amirudin.

Selain Selangor, Pejabat Menteri Besar Perak turut mengesahkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijemput untuk menghadiri mesyuarat tersebut.

Maklumat panggilan mesyuarat itu diterima pemberita susulan perkembangan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah tidak mahu melaksanakan Perintah Darurat.

Keputusan itu dibuat baginda selepas Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara selesai kira-kira pukul 5 petang tadi.

Al Sultan Abdullah sebelum itu menerima cadangan yang dipersembahkan Muhyiddin ketika beliau hadir ke Istana Abdul Aziz di Pekan, Pahang pada Jumaat lalu.

Menerusi kenyataan Istana Negara tadi, Muhyiddin mencadangkan pelaksanaan Perintah Darurat bagi melaksanakan pembendungan wabak Koronavirus (Covid-19).

Muhyiddin dilapor mencadangkan pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan.

Di samping menolak cadangan tersebut, Al Sultan Abdullah turut mengingatkan ahli politik supaya berhenti bermain politik dan fokus kepada kebajikan rakyat dan kestabilan negara.

Titah baginda, Ahli Parlimen perlu berhenti daripada meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada. – SM

(Visited 166 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button