Nasional

Muhyiddin mohon maaf, harap kerajaan baharu dibentuk segera

TAN Sri Muhyiddin Mohd. Yassin meminta maaf kepada rakyat atas segala kelemahan sepanjang menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

Menurut Muhyiddin, beliau dan rakan Kabinet telah cuba melakukan yang terbaik dalam melindungi nyawa rakyat daripada pandemik Covid-19.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon keampunan daripada saudara dan saudari atas segala kekhilafan dan kelemahan saya sepanjang saya menjadi Perdana Menteri.

“Saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan saudara dan saudari sekalian dalam tempoh krisis yang masih kita hadapi pada masa ini.

“Namun, sebagai manusia pastinya ada salah dan silap di sana ini. Jadi saya memohon maaf” katanya dalam ucapan khas selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri hari ini.

Muhyiddin amat berharap kerajaan bahau dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.

Menurut Muhyiddin, tempoh dua bulan ke hadapan amat penting kerana negara dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober.

“Segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut.

“Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.

“Justeru, momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu. Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan,” kata Muhyiddin.

Menurutnya, rakyat tidak perlu bimbang kerana Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini telah menempah lebih 87 juta dos vaksin yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.36 bilion.

Muhyiddin optimis negara akan dapat keluar daripada krisis pandemik ini dalam masa terdekat.

“Saya teruja melihat perkembangan positif beberapa hospital di Lembah Kelang di mana jumlah kemasukan pesakit COVID-19 kategori empat dan lima semakin berkurangan.

“Mudah-mudahan, dengan program vaksinasi yang semakin meningkat, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan dan saudara-saudari dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” kata Muhyiddin.

Dalam ucapan khas yang disiarkan secara langsung, Muhyiddin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para frontliners yang terus bertungkus lumus memerangi pandemik Covid-19.

Beliau turut mengucapankan terima kasih kepada semua penjawat awam yang telah memberi kerjasama sepenuhnya dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau berharap segala dasar yang baik untuk rakyat dapat diteruskan pada masa akan datang.-SM

(Visited 221 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button