Politik

Muhyiddin makin yakin PN dapat bentuk kerajaan negeri

Wartawan Suara Merdeka

PAGOH 9 Mac – Senario politik nasional akan berlaku jika Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk
kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Berucap pada program Pentas Anak Muda malam tadi, Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika
rakyat memberi mandat untuk kembali berkuasa di Johor, tidak mustahil PN dapat menguasai semula tampuk
pemerintahan negara.

Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan sokongan rakyat Bangsa Johor makin memuncak terhadap calon-calon PN
yang mahukan perubahan serta menolak Barisan Nasional (BN) daripada membentuk kerajaan negeri.

“PN akan kembali berkuasa bukan sahaja di Johor tetapi juga di peringkat negara dalam Pilihan Raya Umum
ke-15 (PRU-15) yang akan datang.

“Ini satu permulaan senario nasional yang akan berlaku selepas PRN Johor dan kita harap bila PRN selesai
kita dapat sokongan bagi membentuk kerajaan,” ujarnya pada progam yang diadakan di Bilik Gerakan Zon
Utara, Jalan Pagoh Jaya di sini.

Antara yang turut hadir calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal;
calon PN Bukit Pasir, Iqbal Razak; Ketua Pemuda PN yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari
dan Timbalannya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Sehubungan itu Muhyiddin berkata, pengundi muda seramai lebih 700,000 yang layak mengundi dalam PRN Johor
akan menjadi penentu kepada peningkatan sokongan terhadap PN.

Jelasnya, semua jentera diminta bertungkus-lumus untuk meraih sokongan daripada pengundi berusia 18 tahun
ke atas ketika tinggal tiga hari sebelum rakyat Johor keluar mengundi Sabtu ini.

“Doa saya kepada golongan ini supaya mereka ini yang akan keluar mengundi buat pertama kali dapat
memberikan sokongan kepada calon-calon PN.

“Justeru saya minta seluruh pengundi termasuk yang muda untuk keluar mengundi, Sabtu ini. Jangan sia-
siakan peluang untuk mengundi,” ujarnya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menegaskan di Parlimen Pagoh pertambahan pengundi
muda sebanyak 16,000 perlu dimanfaatkan oleh jentera untuk menyakinkan mereka untuk mengundi PN.

Jelasnya, beliau melihat dua calon yang bertanding di Bukit Kepong dan Bukit Pasir berpeluang cerah untuk
menang bagi mengukuhkan kedudukan PN.

Bagi merealisasikan hasrat untuk PN kembali menguasai Johor beliau mahu semua jentera parti berkerja
bersungguh-sungguh untuk menyakinkan pengundi terhadap calon daripada PN untuk menang.

“Zaman saya muda dulu, waktu berkempen kadang-kadang saya tidak tidur malah makan pun sikit kerana apa
yang penting gerak kerja kita berjalan lancar,” ujarnya.

 

(Visited 122 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button