Politik

Muhyiddin khuatir Anwar akan guna perjanjian sama untuk gubal, pinda perlembagaan dan undang-undang

Tan Sri Muhyiddin Yassin khuatir Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggunakan perjanjian kerjasama gabungan parti untuk meminda Perlembagaan dan menggubal undang-undang pada masa hadapan.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, perjanjian tidak berpelembagaan tersebut membuka ruang untuk salah guna kuasa dan menyekat kebebasan ahli parlimen membuat keputusan.

KENYATAAN MEDIA

PERJANJIAN PERSEFAHAMAN GABUNGAN-GABUNGAN PARTI DALAM KERAJAAN PIMPINAN PAKATAN HARAPAN TIDAK BERPERLEMBAGAAN

Saya memandang serius Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh gabungan-gabungan parti dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mewajibkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dari parti masing-masing mengundi usul-usul tertentu di Dewan Rakyat termasuk undi percaya kepada Perdana Menteri yang mana kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan mereka kehilangan kerusi Parlimen yang disandang.


Perjanjian ini adalah bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki Ahli-Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusi hanya apabila mereka melompat parti. Undang-undang anti lompat parti tidak menghalang hak dan kebebasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengundi di Dewan Rakyat.

Tidak ada mana-mana bahagian dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusinya jika beliau tidak menurut arahan parti dalam pungundian mana-mana usul atau rang undang-undang.

Malah, hal ini dinyatakan dengan jelas dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.

Butiran 21.3 dan 21.2 penyata ini menyebut:

21.3 Jawatankuasa mengambil maklum pandangan bahawa ADR (Ahli Dewan Rakyat) yang tidak mengundi mengikut arahan parti politik (crossing the floor) dianggap bertukar parti adalah tidak berperlembagaan kerana ADR mempunyai hak kebebasan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengundi di Dewan Rakyat.

21.4 Jawatankuasa bersetuju bahawa tindakan ADR yang mengundi bertentangan dengan arahan parti politik di Dewan Rakyat (crossing the floor) adalah tidak dianggap bertukar parti dan tidak terhenti menjadi ADR.

Maka, berdasarkan peruntukan dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas yang disebutkan di atas, saya percaya Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh parti-parti gabungan dalam kerajaan pimpinan PH adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Perjanjian yang tidak berperlembagaan ini menunjukkan seolah-olahnya Perdana Menteri tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Sekiranya beliau yakin, maka tidak perlulah beliau mengambil tindakan yang tidak berperlembagaan ini.

Lebih daripada itu, saya bimbang sekiranya perjanjian ini dianggap sah, maka kerajaan pimpinan PH akan memaksa Ahli-Ahli Dewan Rakyat mereka mengundi usul-usul atau rang undang-undang lain pada masa akan datang, termasuk yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

Ini kerana, sepertimana yang didakwa oleh Perdana Menteri, beliau telah pun mempunyai sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat, iaitu genap majoriti 2/3 Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang membolehkan pindaan perlembagaan dibuat.

Sekiranya perjanjian persefahaman yang berunsur kediktatoran (dictatorial) ini dianggap sah, maka tidak mustahil pindaan perlembagaan yang bertentangan dengan naluri (conscience) Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan nilai masyarakat di negara ini akan diluluskan oleh Dewan Rakyat secara paksa.

Rakyat Malaysia tentunya tidak mahu pilihanraya yang diadakan secara bebas, adil dan demokratik akhirnya menghasilkan sebuah kerajaan yang tidak demokratik.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

Pengerusi
Perikatan Nasional

17 Disember 2022

(Visited 586 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button