Nasional

385 pelajar cicir di Perlis berjaya dibawa kembali bersekolah

SERAMAI 385 orang pelajar di Perlis berjaya dibawa kembali bersekolah menerusi ‘Ops Cicir Sifar’ yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis menerusi program rintis berkenaan sejak Ogos 2018 sehingga awal Mac lalu.

Prestasi keputusan peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi negeri Perlis juga semakin meningkat saban tahun.

Peningkatan prestasi ini dapat dilihat secara keseluruhan dari segi Purata Nilai Gred Keseluruhan dan bilangan A.

Demikian dikongsikan bersempena majlis sembah mengadap perpisahan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Izmi Ismail ke atas Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diadakan di Galeri DiRaja Arau pada petang semalam.

Izmi dinaikkan pangkat dan bertukar keluar bagi memegang jawatan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor berkuatkuasa 6 Mei 2020.

Tuanku Raja Muda menitahkan ucapan penghargaan dan juga tahniah kepada Izmi atas usaha keras beliau dalam melestarikan sistem pendidikan di negeri ini dan telah banyak menyumbang kepada pelbagai pencapaian yang membanggakan dari aspek akademik dan kokurikulum bukan sahaja di peringkat negeri dan kebangsaan malah di peringkat antarabangsa sejak mula berkhidmat di negeri ini pada 1 Mac 2016.

Secara langsung di bawah naungan baginda Izmi dilantik sebagai Ahli Majlis dalam Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Ahli Lembaga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Sepanjang tempoh menabur bakti di negeri ini, Izmi yang mendapat sokongan padu warga pendidik negeri ini tanpa mengenal lelah membuahkan hasil apabila Perlis menerima pengiktirafan ‘5 Bintang’ Penarafan Kecemerlangan Pejabat Pendidikan Daerah (PKPPD).

Selain itu, negeri ini juga berjaya meraih ‘Anugerah Pembestarian Sekolah Peringkat Kebangsaan’ selama dua tahun berturut-turut pada tahun 2018 dan 2019.

Untuk rekod, di bawah kepimpinan beliau, pada tahun 2018, SMK Arau telah terpilih sebagai ‘Johan Pembestarian Sekolah Kategori Sekolah Menengah’ manakala SMK Kuala Perlis pula memenangi ‘Anugerah Khas Sekolah Bestari Cemerlang’ bagi kategori Sekolah Rendah pada tahun berikutnya.

“Tahun 2019 merupakan antara tahun kegemilangan bagi jabatan pendidikan negeri yang mana beberapa pencapaian lain termasuklah menjayakan ‘Tilawah dan Konvensyen Pendidikan Islam Peringkat Antarabangsa’, diberi penghormatan sebagai Ketua Kontinjen Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) di Indonesia dan menerima ‘Anugerah Khas Kepimpinan Majlis Dakwah (MARUAH) Bahagian Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan, KPM”.

Beliau juga turut mempelopori sukan woodball di kalangan warga pendidikan di mana mereka turut mengadakan promosi sukan woodball melibatkan pengarah-pengarah negeri sempena persediaan World Cup Woodball Championship (WCWC) Perlis 2020.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak Covid-19 ini, pihak JPN Perlis melalui siaran yang dikuasakan oleh MAIPs dan JAIPs dengan kerjasama Kerajaan Negeri telah dengan pantas sekali mula melaksanakan program ‘Tuisyen On Air’ yang diberi nama ‘Perlis Mengaji’ untuk para pelajar negeri ini secara atas talian.

Pada kesempatan yang sama Izmi yang memperkenalkan slogan ‘Satu Haluan Sehaluan’ kepada warga JPN mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh warga jabatan itu dan juga semua rakan strategiknya di atas segala sokongan padu yang diberikan.

Beliau juga menyifatkan segala inisiatif dan semangat berterusan jabatan tersebut bersama semua pihak-pihak lain juga membantu membolehkan Perlis menjadi pelopor dalam beberapa program pendidikan dan kokurikulum termasuklah Program Limited Resources Teacher Training (LRTT), Program Subject Based Classroom di sekolah-sekolah negeri Perlis dan juga Program Sekolah Amanah Jamalullail 2.0 oleh MAIPs. – SM

(Visited 229 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button