Politik

Muhyiddin alami kekalahan moral

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dianggap mengalami kekalahan moral selepas Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia.

Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, walaupun Muhyiddin ditemani oleh Menteri Kanan, Ketua Polis Negara dan Ketua Angkatan Negara, namun permohonan kerajaan masih tidak diyakini oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Justeru menurutnya, timbul persoalan terhadap masa depan negara selepas nasihat yang diberikan Perdana Menteri itu telah ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Apa nak jadi kepada negara kita apabila kerajaan dipimpin olih seorang Perdana Menteri yang “nasihat”nya kepada Ketua Negara ditolak.

“Walaupun ditemani oleh menteri-menteri kanan, IGP dan Ketua Angkatan Tentera, masih Ketua Negara tidak dapat diyakini.

“TS Muhyidin mengalami kekalahan moral. Yang di-Pertuan Agong lebih bijaksana!” kata Shahrir di media sosialnya.

Al-Sultan Abdullah Sultan menolak permintaan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat selepas Yang di-Pertuan Agong berpendapat kerajaan sekarang boleh dipercayai untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah berasakan kerajaan sekarang berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

Keputusan itu dibuat selepas Baginda memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-raja Melayu serta melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara.

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini daripada terus merebak.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah berkenan memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Muhyiddin Yassin di majlis mengadap di Kuantan, Pahang pada 23 Okt lalu

Katanya permohonan tersebut ialah pelaksanaan darurat mengikut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Walaupun darurat tidak diisytiharkan, kata Ahmad Fadil, Agong mengingatkan ahli politik agar menghentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.-SM

(Visited 206 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button