fbpx
Nasional

Sajat berpakaian lelaki di KLIA, ubah identiti di Tanah Suci

AGENSI yang membawa usahawan kosmetik terkenal, Muhammad Sajjat menunaikan umrah memberitahu sepanjang pelepasan semua mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Agensi terbabit memberitahu, garis panduan telahpun diterangkan kepada peserta sekiranya lelaki mesti dengan penampilan sebagai seorang lelaki dan begitu juga sebaliknya.

Menurutnya, keadaan peserta mengikut panduan yang diberikan ketika pelepasan berubah menjadi sebaliknya apabila tiba di tanah suci umat Islam itu.

“Untuk trip keluarga Sajjat tunaikan umrah. Kami di Albayt Travel hanya bantu permudahkan urusan umrah dengan saranan supaya ikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Jadi sepanjang perlepasan semuanya mengikut garis panduan yang ditetapkan. Cuma sebaliknya berlaku bila di sana,” kata agensi tersebut melalui ruangan komen di Facebook rasmi syarikat itu.


Sekeping foto Sajat sedang berada di balai pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menunjukkan jutawan kosmetik tersebut tidak bertudung. Sebaliknya gambar di hadapan Kaabah pula memperlihatkan Sajat memakai hijab.

“Kita sama-sama doakan supaya Sajjad dan yang bersamanya dapat hidayah dari Allah. Mudahan di sana Allah tunjukkan kebenaran. Hanya dia dan Allah yang kenali dia dan kami di ******* Travel hanya bantu permudahkan urusan tetamu Allah.

“Yang selebihnya hanya Allah yang tahu. Sama-sama doakan supaya Allah tunjukkan jalan yang benar kepadanya. Doakan yang baik-baik mudahan Allah berikan yang terbaik untuk mereka,” tulis kenyataan tersebut.

Melalui perkongsian di akaun Instagram miliknya, usahawan kontroversi itu berharap semoga dia memperoleh umrah yang mabrur sewaktu berkunjung ke Kota Suci Makkah bersama keluarganya.

Sajat berkata demikian sambil memuat naik imej dia bersama ibu bapanya serta dua anak angkatnya di Mekah.

“Syukur alhamdulillah… Dengan berkat keizinan rombongan kami sekeluarga ke tanah suci Makkah dan Madinah. Selesai sudah umrah kami sekeluarga di kota Makkah. Semoga kami sekeluarga mendapat umrah yang mabrur di sisi ‎Allah,” katanya.

Seorang pendakwah Syed Shahridzan Syed Mohamed menegaskan hukum seorang pondan atau mak nyah yang mahu mengerjakan ibadah umrah adalah harus dan mereka layak untuk mengerjakan ibadah umrah selagi mereka seorang muslim.

Pun begitu, menurut Syed Shahridzan, syarat yang wajib ditunaikan peserta dari golongan mak nyah adalah mereka wajib mengerjakan umrah berdasarkan hukum asal jantina iaitu sebagai lelaki dan bukan sebagai wanita.

“Mereka bukan sahaja hanya wajib berihram seperti lelaki malah wajib berpakaian lelaki di Mekah dan Madinah demi menghormati kesucian kedua-dua Tanah Haram.

“Mereka tidak boleh berpakaian seperti perempuan walaupun bertudung atau bertelekung,” kata Syed Shahridzan yang juga Setiausaha Agung Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI).

Golongan mak nyah tersebut juga wajib mengerjakan ibadah di ruang solat lelaki, begitu juga tandas yang ingin digunakan mestilah tandas lelaki.

Bahkan agensi yang membawa golongan tersebut wajib memastikan bilik penginapan mereka tidak boleh bercampur dengan wanita tulen.-SM

 

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button