Nasional

Mufti Perlis saran orang ramai solat Aidilfitri di rumah

MUFTI Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyarankan umat Islam di negeri ini untuk menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di rumah bersama keluarga masing-masing, berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat  (PKPB) sehingga 9 Jun.

Katanya, Jabatan Mufti Perlis akan menyediakan teks khutbah Aidilfitri yang mudah dan tidak membebankan, agar ianya mudah dibacakan oleh ketua keluarga.

“Tahun ini semua ketua keluarga akan menjadi imam kepada keluarga masing-masing dan ini menunjukan bahawa Islam boleh dilaksana dalam semua keadaan,” katanya kepada pemberita pada satu majlis ringkas di Galeri Istana Arau hari ini.

Pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), berkenan menyerahkan sumbangan alat pengimbas suhu kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan untuk kegunaan di 102 buah masjid di Perlis.

Mohd Asri berkata, panduan solat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi solat Aidilfitri akan disiapkan dalam masa terdekat, bagi membantu orang ramai melakukan solat Aidilfitri di rumah.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu sebarang makluman terkini mengenai situasi semasa COVID-19 oleh pihak berkenaan.

“Jika pada minggu hadapan Kerajaan Persekutuan tetapkan ia boleh dilaksanakan di masjid, kita juga akan benarkan, tetapi setakat ini memang solat sunat Aidilfitri di Perlis dilaksanakan di rumah,” katanya seperi yang dilaporkan BERNAMA

Baru-baru ini Mufti Perlis itu berkata, beliau mengarang teks khutbah solat Aidilfitri bagi memudahkan bapa melaksanakan solat berkenaan di rumah.

Beliau berkata, walaupun khutbah berkenaan adalah sunat, tetapi jika bapa yang menjadi imam dan melaksanakan solat Aidilfitri di rumah bersama keluarga mereka boleh membaca khutbah mengikut teks yang disediakan.

“Teks yang disediakan mudah dan ringkas supaya ia mudah dibaca, termasuk memuatkan potongan ayat suci Al-Quran yang mudah dibaca,” kata beliau.

Selain itu, beliau berkata, Perlis menggalakkan masjid-masjid untuk melaungkan takbir raya.

Mengenai kebenaran menunaikan solat Jumaat di negeri berkenaan, katanya, keputusan itu dibuat selepas beliau bermesyuarat dengan pelbagai pihak termasuk jawatankuasa majlis fatwa secara dalam talian.

Bagaimanapun, jelas beliau, solat Jumaat perlu dilaksanakan di bawah pengawasan SOP yang ketat.

(Visited 330 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button