Politik

Muda tak lulus: apa lagi ROS mahu? – Syed Saddiq

KEPUTUSAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengenai keputusan enggan meluluskan penubuhan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) terus dipersoalkan.

Malah, kepimpinan Muda sebelum ini mendakwa pernah mengadakan pertemuan dengan ROS sebagai usaha untuk memenuhi syarat kelulusan.

Walau bagaimanapun, mesyuarat yang diadakan beberapa kali itu tidak membuahkan hasil.

Oleh demikian, ROS dipersoalkan kerana keputusan tersebut mengambil masa lebih 100 hari, sedangkan waktu pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dahulu cuma ambil masa 30 hari.

“Muda sudah berjumpa dan bermesyuarat dengan ROS beberapa kali sepanjang proses pendaftaran.

“Mengapa ROS tidak pernah membangkitkan apa-apa masalah berkenaan pendaftaran terus kepada kami waktu mesyuarat?

“Muda sudah memenuhi semua keperluan yang diperlukan untuk mendaftarkan sebuah parti politik yang sah. Apa lagi keperluan yang ROS mahu?

“Semua penaja Muda (mereka yang mendaftarkan Muda) adalah warganegara Malaysia dan tidak muflis.

“Adakah ROS ada apa-apa isu dengan status setiap penaja Muda?

“Yang lebih menghairankan saya, waktu PPBM (Bersatu) daftar dengan ROS, ambil masa 30 hari.

“Waktu Perikatan Nasional (PN) daftar lagi laju, tiga hari sahaja. Muda? Dah lebih 100 hari tapi tetap ditolak.

“Apa lagi masalah yang ada pada pendaftaran Muda?”

Demikian persoalan dilontarkan oleh antara pengasasnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam satu kenyataannya hari ini selepas mengetahui keputusan ROS mengenai permohonan pendaftaran Muda.

Terdahulu, Suara Merdeka melaporkan kenyataan rasmi Muda yang memaklumkan kecewa dengan keputusan ROS yang tidak meluluskan penubuhan parti berkenaan.

Oleh demikian, Muda mempersoalkan hak berperlembagaan untuk rakyat Malaysia berpersatuan dan bahagian dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Syed Saddiq yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar itu turut menempelak sesetengah ahli politik lain menyifatkan Muda sebagai ‘parti nyamuk’.

“Muda ini parti baru, masih kecil dan kononnya dianggap parti ‘nyamuk’ oleh sesetengah ahli politik lama.

“Jadi, biarlah Muda jadi parti politik yang sah. Tak perlu takut dengan ‘nyamuk’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta ROS menjelaskan sebab tidak meluluskan penubuhan Muda dan sedia beri kerjasama. – SM

(Visited 756 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button