Nasional

Malaysia fokus memacu pembangunan luar bandar pasca COVID-19.

Mesyuarat Menteri-Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Asean Ke-12

MESYUARAT Menteri-Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ASEAN Ke-12 (The 12th ASEAN Ministers Meeting on Rural Development and Poverty Eradication-12th AMRDPE) telah diadakan pada 26 November 2021 secara atas talian.

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Filipina dan telah dihadiri oleh Menteri/ Timbalan Menteri yang berkaitan dengan pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan negara-negara ASEAN. Malaysia telah diwakili oleh YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I.

Mesyuarat ini merupakan susulan daripada Mesyuarat Pegawai Kanan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ASEAN Ke-18 (The 18th Senior Official Meeting on Rural Development and Poverty Eradication-18th SOMRDPE) dan Mesyuarat Pegawai Kanan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ASEAN Campur Tiga Ke-14 (The 14th ASEAN + 3 SOMRDPE) yang telah diadakan pada 23 dan 24 November 2021 yang lalu.

Tema mesyuarat pada kali ini ialah “Accelerating Recovery and Strengthening Resiliency of ASEAN for Sustainable Rural Development and Poverty Eradication” yang memberi penekanan kepada usaha-usaha bagi mempercepat pembangunan semula kawasan luar bandar dan peningkatan langkah-langkah pembasmian kemiskinan pasca COVID-19.

Mesyuarat 12th AMRDPE tersebut juga antara lain telah membincangkan mengenai Kerangka Pelan Tindakan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ASEAN Tahun 2021 hingga 2025 dan pembangunan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar ASEAN.

Dalam ucapannya YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad telah menekankan mengenai peranan pembangunan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam memacu pembangunan luar bandar pasca COVID-19. Penekanan akan diberikan untuk memulihkan semula aktiviti ekonomi luar bandar yang terjejas teruk akibat langkah-langkah yang telah diambil untuk mengekang penyebaran wabak COVID-19.

Selain itu, perhatian juga akan diberikan untuk memperkukuh kepimpinan kampung serta pembangunan belia dan wanita luar bandar bagi meningkatkan keterlibatan dalam perancangan dan pembangunan kampung masing-masing.

Malaysia juga berharap kerjasama dalam bidang pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan di kalangan negara ASEAN akan terus diperkukuh pada masa akan datang dengan pelaksanaan aktiviti berimpak tinggi termasuklah dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) dan pihak swasta.

Mesyuarat Menteri-Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ASEAN Ke-13 dijangka akan diadakan di Singapura pada tahun 2023.  – SM

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button