Politik

Muda Kedah minta maaf, gantung Penerangan isu poster

JOHOR BAHRU: Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Luqman Long hari ini memohon maaf atas sebuah poster kontroversi yang dikeluarkan Penerangan Muda Kedah malam semalam.

Dalam satu kenyataan, Luqman berkata, pihaknya menyedari poster itu telah menimbulkan salah faham dan tidak mematuhi prinsip jelas dalam parti.

Sebagai langkah susulan, katanya, Penerangan Muda Kedah telah digantung sepenuhnya daripada sebarang aktiviti berkaitan parti.

“Perbincangan bersama Penerangan Muda Kedah mendapati bahawa posting ini juga tidak mendapat kebenaran dan sengaja dibuat dengan niat yang tidak baik.

“Maka, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden ini.

“Sebagai langkah ke hadapan, saya telah mengambil keputusan untuk menggantung Penerangan Muda Kedah dari sebarang aktiviti berkaitan Muda,” katanya lagi.

Semalam tular sebuah poster oleh Penerangan Muda Kedah, yang menunjukkan karakter empat individu memakai baju dengan warna rasmi parti politik – Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Parti Keadilan Rakyat dan Perikatan Nasional.

Empat karakter itu dipotretkan bersebelahan antara satu sama lain, dengan masing-masing menghulurkan objek yang menggambarkan aktiviti rasuah kepada satu sama lain, iaitu wang dan kontrak.

Turut tertera ialah ialah mesej yang berbunyi – “Hentikan korupsi, Undi dan ubah persepsi”.

Perkongsian poster tersebut, menurut sesetengah ahli parti politik, adalah satu bentuk provokasi yang tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi selepas dua parti komponen PH, iaitu DAP dan Parti Amanah Negara, telah memberikan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Muda tandingi.

Selain itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya telah menawarkan tiga lagi kerusi untuk Muda.

Dalam pada itu, Luqman berkata, tindakan menggantung Penerangan Muda Kedah, tidak bermaksud tiada kekhilafan dari pihaknya.

“Ini sama sekali tidak menafikan bahawa kekhilafan dari pihak saya telah mengeruhkan hubungan yang baik antara Muda dan rakan-rakan pembangkang yang lain.

“Maka, saya memohon maaf atas kejadian yang tidak diingini ini dan bersedia untuk mengambil tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan Muda dengan apa-apa keputusan dan tindakan disiplin dari Muda Nasional,” katanya lagi.

(Visited 586 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button