Politik

Kumpulan Puteh mohon maaf kepada Najib

MELAKA 16 Nov. – Gara-gara menjadikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor sebagai bahan lawak di pentas Maharaja Lawak Mega 2021 bermula Ahad lalu, Kumpulan Puteh akhirnya memohon maaf secara terbuka.

Shahrol Shiro yang membawa ahli kumpulan Puteh terdiri daripada Ali, Mamak dan Vilca akhirnya dapat bertemu Najib di Baitu Tariq, Klebang Permai di sini.

Dalam satu majlis yang cukup ringkas, Shahrol bersama ketiga-tiga ahli Kumpulan Puteh meluahkan rasa kesal dan memohon maaf secara terbuka kepada Najib kerana mempersendakan pemimpin itu yang mendapat jolokan ‘Bossku’.

Najib ketika itu berkunjung bertemu calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad malam ini.

“Alhamdulillah, saya lega apabila beliau (Najib) menerima permohonan maaf kami. Ini adalah kekhilafan kami bertiga menjadikan beliau sebagai bahan lawak.

“Tujuan kami sebenarnya adalah untuk berhibur tetapi kami akui ini adalah satu kesilapan yang amat besar,” ujar Ali Puteh atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan ketika ditemui semalam.

Tular di media sosial apabila netizen mengecam tindakan Kumpulan Puteh yang tampil membuat persembahan dalam Maharaja Lawak Mega minggu pertama, lepas.

Dalam segmen yang bertemakan ‘Aura Baru, Lawak Terpadu’ kumpulan itu dikatakan membawa lawak yang mempersenda bekas Perdana Menteri dan isterinya.

Ekoran daripada kecaman tersebut menyebabkan Sharol mencadangkan kepada ahli kumpulan Puteh untuk berjumpa Najib dan memohon maaf secara terbuka.

Bagi Mamak atau nama sebenarnya Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad turut melahirkan rasa kesal kerana segmen lawak mereka telah menyentuh Najib dan isterinya.

Katanya, apa yang terjadi di pentas tersebut adalah satu kesilapan yang amat besar dan secara tidak langsung telah menjejaskan imej mereka.

“Saya berjanji perkara ini tidak akan berulang lagi dan saya secara peribadi ingin memohon maaf atas apa yang terjadi Ahad lalu,” ujarnya.

Tidak terkecuali Vilca yang mengakui tidak pernah mengalami situasi itu namun turut mengakui mereka telah melakukan kesilapan.

“Jika saya ditempat beliau (Rosmah) sudah tentu saya juga akan terasa. Alhamdulillah apabila dapat berjumpa Najib dan beliau memaafkan kami, barulah saya rasa lega,” ujarnya dengan nada gembira.

(Visited 577 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button