Politik

Hazri Jusoh mungkin jadi calon Pas bertanding dalam PRK Parlimen Kemaman

Pas dijang­ka mempertaruh Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kemaman, Hazri Jusoh sebagai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini.

Menurut sumber dalaman Pas Kemaman, walaupun nama bekas calon Pas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dalam Pilihan Raya Umum (PRU14) itu tidak disebut-sebut dalam percaturan awal senarai calon, namun nama pe­mimpin tersebut secara tiba-tiba diperkatakan menjelang tarikh penamaan calon pada 18 November.

Hazri yang lebih dikenali sebagai Ustaz Hazri dikatakan bakal menggantikan penyandang Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Abd. Hamid yang dijangka tidak dicalonkan lagi dalam PRK itu.

Hasrat pemerhati politik negara melihat tokoh-tokoh hebat seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka menjadi calon Pas tidak menjadi kenyataan.

Apatah lagi Barisan Nasional (BN) meletakkan seorang tokoh terkemuka iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Moha­med Noor sebagai calon.

Selain itu pemimpin Pas tempatan lain yang turut berada dalam senarai calon ialah Ketua Pemuda Pas Kawasan Kemaman, Muhammad Ramlan Mahmood.

Sekiranya benar jangkaan Hazri akan bertanding, jelas Pas tidak gerun untuk ‘berperang’ dengan Panglima ATM itu.

Pas mungkin mempunyai keyakinan besar dapat memenangi PRK tersebut walaupun sekadar meletakkan pemimpin di peringkat kawasan Kemaman untuk berentap dengan Raja Mohamed Affandi di medan perang PRK itu.

Sementara itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Hazri yang bertanding di DUN Kijal tewas dalam pertandingan tiga penjuru.

Beliau memperoleh 8,082 undi berbanding bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mengumpul 9,545 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Wan Marzuki Wan Sembok pula dengan 1,472 undi.

Pas dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding dalam PRK Parlimen Kemaman pada hari ini.

Pada PRU15 lalu, Che Alias memenangi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi de­ngan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru mengalahkan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab Ghani (506 undi).

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu.

(Visited 89 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button