Politik

MPPK Kecam Tindakan Ekstrem Mahasiswa Bakar Karikatur Perdana Menteri

CYBERJAYA, 24 Jun 2025 – Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengecam sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan mahasiswa yang membakar karikatur pemimpin tertinggi negara dalam satu perhimpunan di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, MPPK menegaskan bahawa kebebasan bersuara di kampus perlu didampingi oleh kematangan intelektual serta sikap saling menghormati, dan bukannya diekspresikan melalui tindakan ekstrem atau provokatif yang boleh mencemarkan citra institusi pengajian tinggi.

“Tindakan tersebut bukan sahaja keterlaluan dan tidak mencerminkan nilai seorang mahasiswa, malah mencemar institusi pengajian tinggi sebagai medan ilmu dan wacana intelektual,” tegas kenyataan itu.

MPPK menambah, meskipun hak menyuarakan pandangan diiktiraf sebagai tunjang demokrasi kampus, tindakan yang berunsur penghinaan atau kebiadaban jelas bertentangan dengan adab dan kesantunan yang seharusnya dijunjung oleh golongan terpelajar.

Dalam masa yang sama, MPPK memuji pendekatan penuh ihsan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan agar tiada tindakan akademik keras diambil terhadap pelajar yang terlibat, termasuk penamatan pengajian.

“Pendekatan berjiwa besar ini membuktikan komitmen kerajaan untuk tidak meminggirkan anak muda daripada akses kepada pendidikan hanya kerana kekhilafan yang dilakukan,” tambah MPPK.

Sehubungan itu, MPPK menyeru semua warga kampus agar menjadikan universiti sebagai ruang yang subur untuk pemikiran kritikal dan perdebatan sihat, serta menolak sebarang bentuk provokasi yang mengganggu ketenteraman awam atau mencetus perpecahan dalam masyarakat.

Kenyataan ini hadir ketika beberapa pihak termasuk pentadbiran universiti dan pertubuhan pelajar turut melahirkan kebimbangan terhadap trend tindakan protes yang semakin melampaui batas norma akademik dan undang-undang.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button