NasionalPolitik

MPKKP dan KMKK bakal bersaing mempengaruhi sokongan akar umbi di Sarawak

Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) merupakan antara topik hangat diperkatakan dan dibahas di Sarawak ketika ini.

Pakatan Harapan (PH) Sarawak bertegas akan menubuhkan MPKKP yang menurut para pemimpinnya berperanan dalam menyalurkan dana daripada Kerajaan Persekutuan.

Manakala, para pemimpin Gabungan Pakatan Sarawak (GPS) yang kini merupakan parti pentadbir Kerajaan Negeri Sarawak, membantah penubuhan memandangkan Sarawak memiliki Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).

Dua organisasi pengurusan di sesebuah kampung atau rumah panjang!

GPS berhujah MPKKP akan memecah-belahkan masyarakat dalam sesebuah kampung atau rumah panjang.

Isu ini meletus lagi apabila, seorang pemimpin PH Sarawak, Baru Bian yang juga Menteri Kerja Raya, mengesahkan bahawa dana yang disalurkan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sarawak seperti amalan sebelum ini tidak akan ada lagi mulai tahun hadapan.

“Saya rasa tidak ada lagi (peruntukan untuk KMKK) pada tahun hadapan,” katanya dipetik menerusi laporan media di Sarawak pada 6 Nov. 2019.

Kerajaan Persekutuan menyalurkan RM35 juta pada tahun 2019.

MPKKP menurut pemimpin PH akan ditubuhkan di kira-kira 5,000 kampung dan rumah panjang di seluruh Sarawak pada Januari 2020.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) cuma agenda PH untuk menjejaskan kestabilan negeri di peringkat akar umbi.

“Boleh anda bayangkan rumah panjang ada dua ketua, satu dari JKKK dan satu lagi dari MPKKP?

“Mereka (Pakatan Harapan) tahu bahawa kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah di kawasan luar bandar. Oleh itu, mereka mesti membuat strategi di mana mereka mesti memecahkan kekuatan ini. Sebab itulah mereka ingin wujudkan MPKK ini, “ katanya dipetik menerusi sebuah portal berita di Sarawak pada 7 November 2019.

Boleh dikatakan sepanjang Oktober 2019, hampir setiap hari terpampang di media cetak dan media sosial mengenai bantahan daripada KMKK di seluruh Sarawak.

Barisan kepimpinan MPKKP dilantik menerusi komponen parti PH – PKR, Bersatu dan DAP, manakala KMKK dilantik oleh Pejabat Daerah.

Suasana politik Sarawak, sejak PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018, bertambah rancak memandangkan negeri ini akan mengadakan Pilihan Raya Negeri selewat-lewatnya tahun 2021.

Sokongan dan kekuatan pengaruh barisan kepimpinan di peringkat akar umbi amat mustahak dalam memenangi pilihan raya.

Sarawak mempunyai 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.

GPS yang dahulunya dikenali sebagai Barisan Nasional (BN) Sarawak menguasai lebih separuh kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak apabila menang besar pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Rakyat (PDP), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Gabungan empat parti itu diterajui Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

(Visited 112 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button