Nasionalpilihan

Mesin pengimbas di KLIA mula dibaikpulih hari ini

Enam daripada tujuh mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang tidak berfungsi sejak tahun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah mula dibaiki mulai hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kementeriannya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membaikpulih semua mesin pengimbas yang rosak itu.

Menurutnya, kementeriannya tidak mempunyai sebarang halangan untuk meluluskan sebarang peruntukan untuk membaikpulih seperti yang berlaku kepada mesin pengimbas JKDM serta apa sahaja yang dikemukakan oleh mana-mana agensi atau jabatan lain.

“Kita telah ambil tindakan hari ini dan kerosakan itu telah dilaporkan sejak awal tahun ini.

“Kita mengambil tindakan secepat mungkin selepas mendapat teguran daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melawat KLIA.

“Ia akan mula dibaiki hari ini dan peruntukan RM1 juta juga telah
diluluskan oleh Kementerian Kewangan,” ujarnya dalam sidang akhbar
selepas merasmikan Kursus Integriti Akademi Kastam Diraja Malaysia
(AKMAL) dengan World Customs Organisation (WCO) dan Regional Office for Capacity Building (ROCB) di AKMAL Bukit Baru yang turut dihadiri Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas teguran Perdana Menteri yang turut melahirkan rasa kecewa apabila lawatan mengejutnya ke KLIA mendapati hanya satu daripada tujuh mesin pengimbas kastam beroperasi.

Anwar berkata beliau difahamkan mesin itu telah rosak sejak tahun
lalu dan seharusnya digantikan segera memandangkan keperluan mendesak di pintu masuk negara seperti lapangan terbang.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, beliau telah melaporkan mengenai
perkara tersebut dalam mesyuarat pasca Kabinet dan kini ia telah
diambil tindakan sewajarnya.

Beliau menegaskan, kerja-kerja membaikpulih kerosakan enam daripada tujuh mesin pengimbas itu dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

Sementara itu dalam sidang akhbar yang sama Zazuli berkata, kawalan di KLIA tidak hanya bergantung kepada mesin pengimbas semata-mata kerana JKDM mempunyai beberapa cara dalam melindungi keselamatan di pintu masuk utama negara.

“Antara kaedah yang kita gunakan adalah pemerhatian pegawai di
lapangan terhadap kehadiran penumpang yang baharu tiba dari mana-mana negara,” ujarnya.

Katanya, walaupun tanpa mesin pengimbas namun bulan lalu pihak JKDM berjaya mengesan seorang individu membawa dadah yang berjaya ditahan sejurus tiba di KLIA. – SM

(Visited 67 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button