Parlimen

MP PH tidak bertanggungjawab desak menteri lulus Ivermectin untuk pesakit Covid

TINDAKAN beberapa ahli parlimen Pakatan Harapan mendesak Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba supaya meluluskan penggunaan Ivermectin kepada pesakit Covid-19 disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan Sufian mempersolakan mengapa ahli parlimen terbabit mendesak supaya menteri mengetapikan data dan sains dalam meluluskan sesuatu ubat kepada rakyat.

“Saya berpandangan sesiapa yang bukan doktor, jauh dari pakar perubatan penyakit – eloklah akur kepada pakar. Tak semua perkara ahli politik perlu melangkaui pakar.

“Dalam hal meluluskan penggunaan sesuatu ubat, eloklah juga akur kepada sistem kelulusan yang telah terbina dan ditambahbaik selama berpuluh tahun.

“Adakah Ivermectin berkesan untuk merawat Covid? Semestinya saya tidak tahu. Hanya data dan pakar perubatan dalam bidang yang tahu mentafsir data wajar membuat rumusan dan pendirian?” kata Shahril Sufian.

Menurutnya, terdapat implikasi besar apabila ahli parlimen yang bukan doktor, bukan pakar tetapi berpengaruh di mata rakyat bertindak sedemikian.

Tegas Shahril Sufian, sesiapa pun yang menjadi Kerajaan, pentadbir sistem perubatan Malaysia tidak boleh membuat keputusan mengikut teori dan andaian, ataupun populariti hasil desakan ahli politik.

“Sebaliknya, mesti buat keputusan dan kelulusan mengikut prosedur, data dan sains. Ini bukan bab SOP PKP, pakej ekonomi dan lain-lain yang lebih terbuka untuk dipertikai. Ini soal ubat yang hendak diluluskan untuk digunakan ke atas rakyat,” kata Shahril Sufian.

Antara Ahli Parlimen yang meminta penggunaan ubat itu ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu (Kota Raja); Khalid Samad (Shah Alam); Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh); Johari Abdul (Sungei Petani); Sim Tze Tzin (Bayan Baru); William Leong (Selayang) dan P Prabakaran (Batu).

Mereka antara lain, mendakwa India dan Filipina telah berjaya menggunakan Ivermectin untuk merawat COVID-19 tanpa kesan sampingan dilaporkan.

Bagaimanapun, ahli parlimen terbabit tidak menyebut bahawa pihak berkuasa kesihatan di kedua-dua negara itu tidak pernah mengumumkannya secara terbuka.

Mereka mendesak Dr. Adham menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk meluluskan segera penggunaan ubat Ivermectin yang sebelum ini digunakan ubat anti-parasit ke atas pesakit Covid-19.

Bagaimanapun Dr. Adham menolak desakan tersebut dan meminta ahli parlimen membuat surat rasmi memohon penggunaan ubat tersebut kepada badan berkaitan.-SM

 

 

 

 

(Visited 229 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button