Nasional

Mudah untuk mohon lesen berniaga

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa proaktif dalam memudahkan urusan permohonan lesen perniagaan kepada para peniaga tempatan yang menjalankan perniagaan di gerai kecil, tepi jalan dan premis lain.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata PBT telah melaksanakan pelbagai inisiatif, antaranya memendekkan tempoh kelulusan permit perniagaan kecil dan memberikan kelonggaran kepada syarat sedia ada sekiranya perlu.

Selain itu, katanya, inisiatif ini termasuk memanjangkan tempoh masa berniaga, bilangan hari berniaga dan menambah petak penjaja serta menguatkuasakan pengeluaran dan pemantauan lesen dan permit perniagaan kepada warganegara Malaysia sahaja.

“Mulai tahun 2024, pihak KPKT memperkenalkan Garis Panduan Sistem Pusat Memudahcara Pelaksanaan (OSC) Pelesenan PBT bagi menyeragamkan proses, dokumentasi, prosedur permohonan serta kelulusan lesen di peringkat PBT.

“Garis panduan ini yang disediakan bersama dengan Sistem OSC Pelesenan PBT bakal menyeragamkan proses dokumentasi dan tempoh kelulusan PBT bagi Lesen Tidak Berisiko seperti lesen perniagaan kedai runcit, penjaja dan pejabat dalam tempoh tidak lebih daripada 24 jam, ” kata Kor Ming hari ini.

Menurut Kor Ming, proses dokumentasi, penilaian teknikal dan tempoh kelulusan Lesen Berisiko seperti lesen pusat hiburan, kilang dan tadika pula dipermudahkan daripada 32 hari bekerja ke maksimum 14 hari bekerja.

“Inisiatif ini mengurangkan bilangan dokumen yang diperlukan kepada empat (4) jenis dokumen sahaja dan kami menyisihkan dokumentasi secara manual dan surat-menyurat iaitu ulasan dan penilaian teknikal semasa atau selepas lawatan tapak dilaksanakan secara dalam talian.

“Di samping itu, kementerian kini bergerak ke arah mentransformasikan pengurusan hal ehwal pelesenan oleh Bahagian Pelesenan PBT dan Jabatan/ Agensi Teknikal untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan permohonan lesen serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan Kerajaan, ” tambahnya.

Katanya garis panduan dan Sistem OSC Pelesenan diwujudkan berlandaskan kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] yang akan diguna pakai oleh semua PBT di Semenanjung Malaysia dahulu dan akan diperluaskan ke Negeri Sabah dan Sarawak kemudian. – SM

(Visited 12 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button