Bola SepakSukan

Mourinho, Solskjaer bertelagah angkara Son Heung-min

JOSE MOURINHO melemparkan kritikan terhadap Ole Gunnar Solskjaer selepas kedua-dua pengurus itu bertikam lidah ketika berada dalam terowong stadium selepas wisel penamat perlawanan dibunyikan.

Bos Tottenham itu ternyata berang selepas Solskjaer menuduh Son Heung-min menipu pengadil perlawanan sehingga mempengaruhi kepada pembatalan jaringan Edinson Cavani.

Bintang antarabangsa Korea Selatan itu dituduh terlalu mudah merebahkan badannya selepas wajahnya terkena tangan Scott McTominay.

“Jika anak lelaki saya menjatuhkan badannya selama tiga minit dan dia memerlukan 10 orang rakan sepasukan untuk membantunya bangun, dia tidak akan mendapat sebarang makanan.

“Perlawanan itu terus hilang seri,” kata Solskjaer.


Bagaimanapun, bekas bos United, Mourinho membalas kembali kritikan tersebut kepada pemberita.

“Saya hanya mahu berkata Sonny amat bertuah bahawa bapanya merupakan insan yang lebih baik berbanding Ole,” ujar Mourinho.

Cavani menyangka dia berjaya meletakkan United di depan apabila pemain itu merembat masuk gol pada minit ke-33.

Namun, pengadil, Chris Kavanagh membatalkan jaringan tersebut selepas VAR menasihatkan dia memeriksa kembali monitor di tepi padang.

Keputusan itu kelihatan keterlaluan dan Red Devils semakin berang apabila Heung-min meledakkan gol buat Spurs tujuh minit berselang.

Warga Norway itu dalam satu temu bual televisyen selepas perlawanan berakhir berkata: “Gol tersebut satu jaringan yang sempurna. Kami tidak ditipu, tetapi pengadil yang terpedaya.”

Komen tersebut telah membangkitkan kemarahan Mourinho dan dia menyelar pemberita dalam sidang video selepas perlawanan kerana tidak bertanya kepadanya tentang kritikan Solskjaer, walaupun pemberita pada ketika itu tidak mengetahui tentang komen pengurus United tersebut.

“Saya sangat terkejut anda semua tidak bertanya kepada saya selepas komen yang dibuat Ole terhadap Sonny.

“Saya sendiri telah memaklumkan kepada Ole sewaktu saya bertemunya beberapa minit lalu (awal pagi waktu Malaysia), jika saya yang bercakap kepada pemain A, B atau C dari kelab lain bahawa jika dia anak lelaki saya, saya tidak akan memberikan makan malam atau sesuatu seumpama itu, apakah maklum balasnya selepas itu?

“Saya amat sedih tiada sesiapapun yang memaklumkan kepada saya mengenainya. Sangat menyedihkan tiada sesiapa yang melayan saya dengan jujur seperti mana anda melayan orang lain.

“Mengulas mengenai isu tersebut, saya hanya mahu berkata Sonny amat bernasib baik bapanya lebih baik berbanding Ole.

“Ini kerana sebagai seorang bapa, dan saya juga seorang bapa, anda perlu memberi anak-anak makan tidak kira apa yang mereka lakukan. Jika anda perlu mencuri untuk memberi anak makan, anda terpaksa mencuri.

“Saya sangat kecewa, seperti kata pepatah Portugal, roti adalah roti dan keju adalah keju.

“Saya telah memaklumkan Ole apa pendapat saya tentang komennya itu.

“Saya perlu memberitahu anda saya sangat kecewa dan daripada tujuh soalan anda abaikan komen ini,” katanya.
Kedua-dua pengurus tersebut saling berbalas kritikan menjelang perlawanan, tetapi komen selepas pertemuan telah menjadikan suasana lebih tegang antara mereka.

Bagaimanapun, Mourinho kelihatan bersetuju keputusan membatalkan gol Cavani itu satu tindakan yang keterlaluan apabila dia memberitahu: “Saya benar-benar tidak faham.

“Saya menonton perlawanan Fulham menentang Wolves. Saya sama sekali tidak faham.

“Kadang kala anda berjaya mendapatkan keputusan, dan ada kalanya tidak. Saya tidak tahu bagaimana hendak komen. Anda tidak meraikan jaringan kerana anda bimbang.”

Ketika ditanya sama ada pasukannya terjejas gara-gara keputusan VAR, Mourinho dalam nada sarkastik berkata:

“Kami tidak bernasib baik kerana mungkin Paul Pogba sepatutnya mendapat kad merah kerana menyiku Serge Aurier.”

Sementara itu, Heung-min, 28, yang kelihatan tidak selesa selepas insiden dia merebahkan tubuhnya kerana jari McTominay mengenai wajahnya pula berkata: “Ia sangat sukar untuk semua orang. Untuk kami, para pemain dan juga pengadil.

“Terlalu banyak percanggahan dan keputusan yang anda tidak faham dengan baik. Itu bukan masalah saya, saya tidak mampu memperbaikinya.”

Namun, Solskjaer mengakui, keputusan berat sebelah telah memberi inspirasi kepada pasukannya untuk bangkit, terima kasih kepada gol Fred, Cavani dan Mason Greenwood.

“Sejak detik itu kami mula bermain bola dengan baik, walaupun dibolosi selepas itu. Tetapi para pemain bersatu hati dan tidak membiarkan keputusan tersebut mengganggu musim mereka.

“Ia menunjukkan kekuatan dan perwatakan pasukan. Kami bersatu hati pada waktu sukar dan kami berjaya melakukannya banyak kali, musim ini,” tambahnya. – The Sun – SM

(Visited 45 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button