Bola SepakSukan

Mourinho pertahan Arteta ekoran tekanan ke atas bos Arsenal

JOSE Mourinho mempertahankan Mikel Arteta selepas skuad bimbingannya, Tottenham menundukkan Arsenal 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur, London, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Harry Kane dan Son Heung-min menjadi punca kepada kekalahan Gunners yang kini bergelut dengan prestasi.
Ini bermakna kelab itu kekal berada dalam kedudukan kelompok bawah, musim ini, manakala seteru mereka kembali ke puncak liga selepas kemenangan pada pertembungan derby itu.
Arteta menyaksikan pasukannya mempamerkan persembahan mengagumkan terutama dalam babak kedua, tetapi kelemahan pada kreativiti permainan mereka menyebabkan Arsenal gagal mengatasi dua gol yang meletakkan Tottenham di hadapan sebelum rehat separuh masa pertama.
Tekanan ke atas pengendali dari Sepanyol itu semakin memuncak, tetapi Mourinho mengakui, skuad bimbingannya diberikan cabaran sengit dalam babak kedua dan bertindak mempertahankan Arteta yang diyakininya mampu bangkit kembali.
“Perlawanan ini merupakan sebuah pertemuan yang besar, ia bukan sekadar pertembungan antara Tottenham-Arsenal.
“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Mikel Arteta kerana dia menyebabkan kami terpaksa mengharungi satu perlawanan yang sangat sukar. Mereka amat bagus dari segi taktikal, bermain dengan sangat kemas.
“Mereka beri kami masalah. Masalah yang mampu kami selesaikan. Mereka memiliki keberanian taktikal yang baik dan semangat yang cukup luar biasa. Mereka sebuah pasukan yang bagus dan Mikel juga merupakan jurulatih yang bagus.
“Kami berjaya membaca permainan dan melakukan perubahan untuk mencatat kemenangan kerana 2-0 sudah berada di dalam tangan kami menentang lawan yang hebat dan sangat sukar, tetapi anak-anak buah saya beraksi dengan baik, hari ini.
“Saya sangat gembira dengan keputusan dan persembahan ini, tetapi sudah tentu saya mahukan pasukan saya beraksi dengan corak permainan berbeza sewaktu separuh masa kedua.
“Realitinya anda tidak akan selalu dapat melakukan apa yang anda mahukan kerana lawan anda akan memaksa anda bermain dengan cara yang berbeza.
“Anda menang 2-0, mengapa anda perlu mendedahkan benteng pertahanan, jika anda tidak perlu berbuat demikian? Perlawanan ini amat sukar.
“Saya boleh membayangkan tajuk berita utama, esok ialah tentang mereka yang tidak berada pada kedudukan yang baik dalam carta liga, tetapi saya percaya dengan pemain-pemain ini dan Mikel akan sekali lagi hadir dalam perlawanan Arsenal menentang Tottenham,” katanya. – Mirror – SM

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button