Nasional

Dana RM5 juta bantu pelajar melalui Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia

KERAJAAN telah menubuhkan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mahasiswa yang memerlukan bantuan.

Sebagai permulaan, sejumlah dana RM5 juta diperuntukan kepada yayasan yang dikawal selia oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap, melalui penubuhan yayasan tersebut pengurusan dan penyelarasan hal ehwal kebajikan mahasiswa lebih bersepadu.

Tambah Perdana Menteri, yayasan berkenaan wajar menjadi sebab bagi semua pihak untuk memberikan yang terbaik, ke arah menterjemahkan aspirasi konsep Keluarga Malaysia.

“Penubuhan yayasan ini secara langsung menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa seperti yang terkandung dalam konsep Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

“Sebagaimana dalam sebuah keluarga, setiap ahli yang susah, perlu dibantu bersama-sama dan nilai-nilai murni ini jugalah yang perlu diamalkan oleh setiap mahasiswa.

“Amat mustahak bagi setiap mahasiswa melihat rakan-rakan sebagai sebuah keluarga besar yang saling memerlukan,” kata Ismail Sabri ketika melancarkan yayasan berkenaan.

Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia akan berkolaborasi dengan kesemua saluran bantuan dan yayasan sedia ada di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mahasiswa yang memerlukan bantuan.

Ismail Sabri mengingatkan kepada agensi dan pihak yang terlibat untuk mempermudahkan dan percepatkan permohonan lengkap yang diterima daripada mahasiswa supaya bantuan dapat disalurkan dengan segera kepada mereka.

Katanya, dengan tertubuhnya yayasan tersebut Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan mahasiswa mempunyai tanggungjawab yang perlu digalas bagi memastikan tiada sebarang rakan yang memerlukan tercicir daripada dibantu.

Serentak itu, Perdana Menteri menyeru semua mahasiswa supaya menggenggam erat prinsip kebersamaan tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

Tambahnya, Covid-19 memberi kesan terhadap 1.2 juta mahasiswa. Sepanjang pandemik, pelbagai bantuan telah dan akan disalurkan kepada mahasiswa yang memerlukan dari semasa ke semasa.

Antaranya ialah Bantuan Pelan Data B40 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM24 juta. Ia telah memberi manfaat kepada lebih 300 ribu mahasiswa.

Selain itu ialah Bantuan Peranti B40 juga diberikan secara bersasar kepada kepada hampir 9 ribu mahasiswa dengan peruntukan berjumlah RM13 juta.

Turut diberikan moratorium Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang memanfaatkan 1.5 juta peminjam.

Terkini, kerajaan telah menyalurkan Sumbangan e-Tunai yang merangkumi mahasiswa berumur 18 hingga 20 tahun menerusi Program e-Belia.

Kesemua bantuan itu menandakan kecaknaan berterusan kerajaan dan KPT dalam meringankan beban PdP warga kampus.-SM

(Visited 289 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button