Politik

Pemuda UMNO nafi tak sebulu dengan Presiden

KELANTANGAN dalam menyuarakan pandangan tidak semestinya tiada kesepakatan di antara sayap Pemuda dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh hari ini menafikan andaian bahawa Pemuda dan Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, tidak sehaluan  atau tidak sebulu.

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar Presiden pada PAU 2023, hari ini.

Penafian ini dibuat ekoran kelantangan pemimpin-pemimpin sayap itu bersuara dan menyatakan pandangan masing-masing pada Perhimpunan Agung Umno 2023 (PAU2023) yang berlangsung sejak 7 Jun, Rabu lalu, terutamanya berkaitan DAP.

“Sikap ‘keras’ ketika memberikan pandangan tidak bermakna ada pergeseran antara kami dan Presiden.

“Kami hanya membawa suara akar umbi dan kami tetap menghormati institusi Presiden,” katanya pada sidang media, petang tadi.

Dalam sidang media yang sama, Akmal turut menafikan desas-desus bahawa Pemuda menunjukkan ketidakpuasan hati secara terang-terangan dengan tidak berdiri seolah-olah protes dan sabotaj ketika Zahid mengunjungi sidang Pemuda.

Akmal juga menepis dakwaan bahawa Pemuda memboikot Zahid.

“Tidak betul! Bila Presiden datang, kami bangun dan tepuk tangan untuk Presiden malahan saya sendiri duduk di bawah meraikan kehadiran Presiden bersama kita,” jawab Akmal kepada pertanyaan pemberita.

Keberanian Akmal mendapat pujian bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi  (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang masing-masing digantung keahlian selama enam tahun.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menerusi podcast Keluar Sekejap menyifatkan Akmal sebagai “berani” dan “bermaruah” manakala Tajuddin berkata, Akmal adalah antara pewaris yang UMNO perlukan.

“Pujian itu bermakna Tajuddin, Khairy masih sayangkan UMNO. Semalam saya dengar video Khairy, dia juga kata dia masih sayangkan UMNO.

“Khairy masih ada harapan, Tajuddin pun masih ada harapan dalam UMNO. Sebab itu saya tegaskan sebelum ini, inilah masanya semua yang sayangkan UMNO, duduk semeja,” katanya. – SM

BACA Pemuda UMNO desak DAP minta maaf secara terbuka

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button