Nasional

Larangan memakan kupang, dwicangkerang dari Melaka

Orang Awam di negeri Melaka dilarang untuk memakan dwicangkerang termasuk kupang bermula 5 April 2024 sehingga pemantauan tahap keselamatan bacaan biotoksin berada di paras yang dibenarkan serta kupang disahkan selamat untuk dimakan.

Hasil analisis yang dijalankan oleh makmal Biosekuriti Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) terhadap sampel kupang dan air yang diambil pada 3 April 2024 dari Sebatu, Melaka telah menunjukkan kehadiran alga spesies Alexandrium yang berbahaya kepada kesihatan manusia.

Jabatan akan meneruskan pemantauan berterusan selama tempoh 20 hari dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan (National Shellfish Sanitation Program – NSSP) yang ditetapkan.

DOF pada 2 April 2024 juga telah mengeluarkan hebahan larangan sementara kepada pengusaha dan penternak bagi menghentikan serta merta aktiviti menjual dan mengeluarkan kupang ternakan melalui sistem pancang, rak dan p-line dari perairan negeri Melaka.

Larangan tersebut merupakan tindakan pencegahan awal yang diambil Pejabat Perikanan Negeri Melaka berikutan kes kupang tercemar di Port Dickson.

Orang awam juga diminta untuk segera melaporkan kepada Jabatan Perikanan Negeri/ Daerah yang berhampiran jika mengesan atau melihat perubahan warna air laut kepada warna merah, coklat, kuning atau hijau. – SM

(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button