Nasional

Motosikal kapcai prestasi tinggi diharamkan

KAPCAI laju antara penyumbang kepada tingginya kemalangan jalan raya dan kematian dalam kalangan penunggang motosikal selain kegiatan merempit.

Sehubungan itu, kehadiran motosikap kapcai laju dalam pasaran tempatan mencetuskan rasa bimbang kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani khususnya lambakan motosikal kapcai berprestasi tinggi ini.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar model kapcai berprestasi lincah dan berkemampuan tinggi diharamkan di pasaran.

“Motosikal kapcai berprestasi lincah yang ditunggang melebihi had laju wajib  ini dilarang berada di jalan raya.” Katanya dalam saranannya itu.

Saranan Acryl Sani itu adalah susulan pendedahan beberapa portal berita automotif tempatan yang melaporkan keterujaan peminat permotoran terhadap motosikal tersebut.


Ia selepas tersebarnya video mengenai model keluaran terbaru iaitu Suzuki Raider R150 Fi, juga dikenali dalam kalangan peminat motosikal sebagai ‘Si Belang’, yang mencecah kelajuan 177 km/j melalui ujian terkini mesin “dyno”.

“Kenderaan (kapcai) seperti ini wajib diharamkan di Malaysia (kerana) tidak ada relevensi kelajuan 177 km/j di jalan raya sedangkan had laju maksimum adalah 110 km/j (di lebuh raya),” tegas Acryl Sani.

Menerusi ujian teliti pada mesin “dyno”, motosikal kapcai yang dipasarkan dengan harga RM8,173 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) menunjukkan ‘Si Belang’ mampu merekodkan kelajuan maksimum antara 150 km/j hingga 160 km/j.

Jentera “dyno” adalah sebuah peranti yang mengukur daya, tork atau kuasa sesebuah kenderaan.

Dalam pada itu, Acryl Sani menggesa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) memainkan peranan utama mengkaji arah tuju permotoran serta merangka polisi motosikal selamat pada masa hadapan.

“Miros hendaknya jadi badan pendesak,” tambahnya.

Statistik nahas setakat Ogos tahun lalu menunjukkan bahawa bagi setiap 10 orang yang maut di jalan raya, tujuh merupakan pengguna motosikal dengan majoriti kematian adalah terdiri daripada pengguna kapcai.

Sejak 2019, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melancarkan “perang” ke atas kapcai popular Yamaha 15ZR atau lebih dikenali sebagai Y-Suku yang dikatakan mampu mencecah kelajuan 160 km/j setelah diubah suai dan kerap digunakan sebagai kenderaan lumba haram.

Pada mesyuarat agung tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya tiga tahun lalu, seorang pegawai kanan JSPT mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan agar kategori pelesenan motosikal B3 yang baharu diwujudkan untuk golongan belia dengan hanya dibenarkan menunggang motosikal elektrik berkuasa rendah atau motosikal “combustion” 100cc ke bawah menjelang 2025.

“Jika kita mempunyai kategori pemegang lesen baharu ini, ia boleh menyelamatkan banyak nyawa. Ia akan memanfaatkan negara. Jika kita mempunyai dasar jangka panjang bagi mengawal kumpulan sasaran 16 hingga 25 tahun dan membentuk budaya baharu untuk mereka hanya menunggang motosikal berkuasa rendah,” kata Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JSPT Bakri Zainal Abidin.

Enam bulan lalu, seorang perancang pengangkutan menyarankan agar motosikal kapcai “underbone” dihentikan penjualannya di pasaran secara berperingkat dan digantikan dengan motosikal elektrik berkuasa rendah untuk membendung kematian dan nahas jalan raya yang tinggi dalam kalangan pengguna motosikal. -SM

 

(Visited 118 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button