Nasionalpilihan

MOTAC semarakkan kempen ‘Ini Batik Malaysia’ di Parlimen

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) pada hari ini mengadakan pameran sempena kempen ‘Ini Batik Malaysia’ di aras 1 Bangunan Blok Utama, Parlimen.

Kempen ‘Ini Batik Malaysia’ yang bermula pada 1 Julai 2022 adalah inisiatif Kraftangan Malaysia dalam memartabatkan industri kraf batik tempatan. Ini adalah selaras dengan pengisytiharan Hari Batik Malaysia pada 3 Disember setiap tahun dan pemakaian baju Batik Malaysia pada setiap hari Khamis.

Objektif kempen ini bertujuan memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai Batik Malaysia serta menggalakkan pemakaian Batik Malaysia dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Selain daripada itu, turut diberikan pemberian baucar yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) tahun 2020. Inisiatif ini dilaksanakan untuk menggalakkan orang ramai membeli produk kraf Malaysia.

Pada awal tahun 2022, insentif baucar pembelian produk kraf tempatan sebanyak RM3.8 juta ditawarkan kepada orang ramai. Baucar bernilai RM30.00 bagi setiap gandaan RM100.00 diberikan untuk pembelian produk kraf di kalangan Keluarga Malaysia. Penawaran baucar ini memberi manfaat langsung kepada komuniti kraf dengan janaan nilai jualan sebanyak RM21.7 juta.

Melihat kepada kejayaan inisiatif ini, MOTAC sekali lagi memperuntukkan insentif baucar pembelian produk kraf Malaysia sebanyak RM3.0 juta. Insentif ini ditawarkan mulai 16 September 2022 bersempena sambutan Hari Malaysia.

Semoga dengan kempen ‘Ini Batik Malaysia’, dapat memberi kesedaran, pengetahuan dan menyemai jati diri identiti Keluarga Malaysia menerusi pemakaian Batik Malaysia. Usaha ini mampu melonjakkan permintaan terhadap produk kraf batik sekaligus meningkatkan pendapatan usahawan dan komuniti kraf.

MOTAC berharap dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Kraftangan Malaysia ini dapat merancakkan semula industri kraf negara di samping membantu usahawan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi mereka. – SM

Artikel berkaitan > Proses penghasilan batik Malaysia yang ramai generasi muda tidak tahu!

(Visited 491 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button