NasionalpilihanTravel

MOTAC perluas segmen pelancongan mesra Muslim di OIC

PERANAN Malaysia sebagai negara mesra Muslim sentiasa mendapat pengiktirafan global dan menarik minat pelancong untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utamanya.

Justeru, Malaysia mahu memperluas segmen pelancongan mesra Muslim di peringkat serantau dan antarabangsa menerusi penglibatan lebih erat dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebagai negara mesra Muslim, Malaysia sentiasa mendapat pengiktirafan global hingga menarik minat pelancong untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan utama.

Malaysia sekali lagi telah disenarai serta dianugerahkan sebagai destinasi pilihan pertama bagi pengembara umat Islam pada tahun ini dalam Indeks Pengembara Muslim Global (GMTI) yang dikeluarkan MasterCard dan CresentRating untuk tempoh tujuh tahun berturut-turut.

“Justeru, pada sesi ke-11 Persidangan Islam Mesyuarat Menteri-Menteri yang berlangsung di Baku, Republik Azerbaijan bermula pada 27 hingga 29 Jun yang lalu, saya menekankan bahawa Malaysia optimis untuk terus memperluaskan kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa, khususnya bagi segmen Pelancongan Mesra Muslim menerusi penglibatan lebih erat dengan OIC.

“Malah, MOTAC ketika ini sangat memberi penekanan kepada program pembangunan modal insan dan piawaian pensijilan halal yang setara bagi menjamin perkhidmatan berkualiti mampu ditawarkan secara berterusan, disamping memastikan perjalanan patuh syariah sebagai galakan utama untuk menarik lebih ramai ketibaan pelancong Islam ke Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Lebih daripada 600 persijilan halal telah dikeluarkan kepada hotel dan pusat peranginan di Malaysia dan lebih 50 peratus pensijilan halal juga telah dianugerahkan kepada syarikat tempatan bukan Islam.

Jelas beliau, angka ini menunjukkan serta menjanjikan segmen pelancongan Muslim mampu menjadi penyumbang yang signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, Malaysia menerima purata seramai 5.3 juta ketibaan pelancong Muslim dengan sumbangan pendapatan pelancongan dianggarkan berjumlah AS$3.8 bilion.

Negara ini merekodkan jumlah ketibaan pelancong Muslim tertinggi, khususnya dalam kalangan negara OIC adalah Indonesia, Brunei, Bangladesh dan Arab Saudi.

Menurutnya, walaupun 71 peratus wanita Islam mengembara bersama keluarga, namun trend ini dijangka berubah apabila wabak Covid-19 mula beralih kepada endemik.

“Kebimbangan mereka terhadap isu kesihatan dan keselamatan kanak-kanak dijangka mendorong untuk mereka beralih kepada mood pengembaraan secara solo, sekali gus diyakini mampu menjadi penyumbang besar kepada industri pelancongan,” ujarnya.

Nancy menambah, dalam kunjungannya ke Azerbaijan, beliau melihat potensi besar di negara itu memandangkan Azerbaijan adalah sebuah negara yang pesat membangun dan terus berkembang.

Katanya, Malaysia perlu merintis lebih banyak kerjasama dua hala, terutamanya yang melibatkan segmen pelancongan pendidikan dan pelancongan perubatan.

Artikel berkaitan > Diskaun serta pelanjutan tempoh pembayaran kompaun pengusaha pelancongan diluluskan – MOTAC

 

(Visited 203 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button