NasionalNegeriPolitik

Mohd Shukri mulakan tugas Menteri Besar “Perlis Baharu”

TEPAT pukul 9 pagi hari ini, Menteri Besar, Mohamad Shukri Ramli melakukan “thumbprint” sekaligus bermulalah tugas rasminya sebagai Menteri Besar untuk memacu pemerintahan ke arah “Perlis Baharu”.

Mohd Shukri, 61 atau lebih dikenali sebagai “Cikgu Shukri” dilihat ceria dan tenang ketika mengimbas cap jari pada perakam waktu di pintu masuk pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Persiaran Wawasaan di Kangar.

Mohd Shukri melakukan “thumbprint” pada hari pertama bertugas sambil disaksi Hasnol Zam Zam (kanan) di Kompleks DUN Kangar. – Gambar Ihsan Jabatan Penerangan Perlis.

Sebelum itu beliau yang tiba di pekarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

“Bagilah saya masa kerana masih baharu dengan tugas ini di mana perlu mendapat maklumat lanjut berkaitan pentadbiran negeri ini,” katanya kepada media pada hari pertama bertugas.

Sehubungan itu, beliau akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang, Pegawai Kewangan Negeri dan pegawai kanan lain untuk kelancaran pentadbiran.

Beliau mengakui masih banyak perlu belajar termasuk menyesuaikan diri masuk ke pejabat semula selepas hampir 10 tahun bersara sebagai guru.

Mohd Shukri bersalaman dengan Hasnol Zam Zam sambil disaksi pegawai kanan kerajaan di Kompleks DUN Kangar. – Gambar Ihsan Jabatan Penerangan Perlis.

Sementara itu katanya, senarai untuk barisan exco juga sudah dihantar ke Perikatan Nasional (PN) Pusat semalam selepas diadakan sedikit perubahan.

Beliau berkata, hanya tunggu keputusan Pusat sebelum diadakan majlis angkat sumpqh Exco pada Jumaat ini.

Mohd Shukri berkata, beliau juga akan berbincang dahulu dengan pegawai kanan kerajaan mengenai perpindahannya ke kediaman rasmi.

Bagaimanapun katanya, beliau lebih selesa tinggal di rumah sendiri dan akan berada di kediaman Menteri Besar atas urusan rasmi.- SM

(Visited 381 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button