Nasional

Monsun Timur Laut: JBPM peruntuk RM3 juta beli aset, logistik

Sebanyak RM3 juta diperuntukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membeli pelbagai aset dan logistik menghadapi bencana banjir pada fasa peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan November ini.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, antara aset yang dibeli bagi menghadapi bencana berkenaan ialah 60 buah bot khas bagi menghadapi banjir
di kawasan perbandaran dan 100 unit pencahayaan.

Menurutnya, aset berkenaan telah diagih-agihkan kepada JBPM di enam buah negeri yang dijangka dilanda banjir besar terutama di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak serta
beberapa negeri lain.

“Dari segi keanggotaan seramai 28,388 orang kini diletakan dalam keadaan kesiapsagaan terdiri daripada 12,718 anggota JBPM, Pegawai Bomba Bantuan (PBB) pula berjumlah 13,559 dan Pasukan Bomba
Sukarela (PBS) dengan kekuatan 2,061 orang.

“Turut bersiap sedia ialah pasukan khas JBPM berjumlah 4,147 orang terdiri daripada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), pasukan Multi Skill Team (MUST), Pasukan Khas Udara Bomba (Paskub) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis perasmian penutup Kursus Pengurusan Bencana Peringkat JBPM Melaka yang telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Pentas Budaya Pantai Puteri dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut Nor Hisham berkata, dari segi keanggotaan pengisian jawatan sudah mencapai 96 peratus setakat ini di mana JBPM telah mengambil seramai 1,000 anggota bomba baharu dan telah
ditempatkan di seluruh negara tahun ini.

Dari segi logistik udara pula beliau berkata, sebanyak sembilan buah helikopter akan membantu di tiga buah pengkalan iaitu tujuh di Subang manakala setiap satu pula di Bertam, Pulau Pinang dan
Miri, Sarawak.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya juga turut memantau sebanyak 186 lokasi yang berisiko dilanda fenomena kepala air yang dijangka berlaku sewaktu fasa peralihan Monsun Timur Laut nanti.

Katanya, tumpuan utama ialah di Kedah kerana corak hujan yang berbeza tahun ini menyebabkan berlaku fenomena kepala air berskala besar seperti yang berlaku di Baling dan Titi Hayun di kaki gunung Jerai.

“Tumpuan utama hanyalah di kawasan yang mempunyai jeram yang mana hulunya masih ada lagi kerana kawasan ini dikenalpasti berpotensi berlakunya kepala air berskala besar,” ujarnya. – SM

(Visited 187 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button