Politik

Mohd. Rafiq berpindah ke Hang Tuah Jaya?

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen dikatakan mungkin tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Ini berikutan perbincangan pucuk pimpinan Pas Pusat pada Rabu pada dasarnya telah bersetuju untuk bertukar kerusi daripada kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya yang dipersetujui sebelum ini berpindah ke Parlimen Tangga Batu.

Sebelum ini mesyuarat pimpinan Perikatan Nasional (PN) negeri telah mengambil ketetapan Pas hanya bertanding di Hang Tuah Jaya dan Jasin pada PRU15.

Sumber parti dalam gabungan PN Melaka berkata, jika keputusan itu kekal sebelum Pas memuktamadkan senarai calon bertanding di Melaka, sudah pasti Mohd. Rafiq tidak dapat menebus kekecewaannya selepas kalah di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu.

“Berdasarkan perbincangan tersebut nampak keputusan Pas bertanding di Tangga Batu adalah kekal.

“Pas Melaka juga telah menyenaraikan nama Pesuruhjaya Pas negeri, Ustaz Zulkifli Ismail akan bertanding di Tangga Batu,” ujar sumber itu.

Pada PRU14, Zulkifli bertanding di Tangga Batu tetapi tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rusnah Aluai. Dia memperoleh 8,961 undi.

Kamaruddin Sidek dijangka dipilih bertanding di Parlimen Jasin.

Mohd. Rafiq yang juga Ketua Badan Perhubungan PN Parlimen Tangga Batu sebelum ini dikatakan akan bertanding di Tangga Batu untuk menebus ekoran kekalahannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas pada PRN negeri yang lalu.

Tidak dapat dipastikan sama ada pucuk pimpinan tertinggi Bersatu akan menyenaraikan Naib Presidennya bertanding di Hang Tuah Jaya.

Sebelum ini difahamkan nama bekas Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Ahli Parlimen Bukit Katil pada 2004 ketika mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Prof. Dr. Mohd. Rudin Abd. Ghani adalah dua calon dikatakan bertanding atas tiket Bersatu.

Sumber itu berkata, bagi kerusi Parlimen Jasin juga turut kekal ditandingi oleh calon parti itu walaupun ada desakan daripada Bersatu mahukan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Dr. Mohd
Yadzil Yaakub bertanding di situ.

Menurutnya, kerusi Parlimen Jasin kekal ditandingi oleh Pas setelah dipersetujui pada Mesyuarat PN negeri baru-baru ini.

Katanya lagi, Pas menyenaraikan tiga calon bertanding di situ iaitu Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Kintan Man; Naib Yang Dipertua Pas kawasan Jasin, Abd. Alim Shafie dan bekas Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Kamaruddin Sidek.

“Daripada tiga nama itu, dalam kalangan pimpinan Pas Jasin pula mahukan Kamaruddin untuk bertanding pada PRU15,” ujarnya. – SM

(Visited 384 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button